POLIS sedang mengesan seorang penunggang lelaki yang bertindak agresif merosakkan sebuah kenderaan serta mencederakan seorang pemandu dalam pergaduhan di tepi jalan Kampung Bukit Senggeh, Selandar di Jasin baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 3.34 petang pada Khamis lalu manakala video kejadian itu mula tular sejak hari ini.
Beliau berkata, Balai Polis Selandar menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 35 tahun yang mendakwa dipukul serta kenderaannya dirosakkan oleh seorang lelaki tidak dikenali.
“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila pengadu menyedari sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda berwarna biru berada di belakang kenderaannya dalam keadaan mencurigakan seperti hampir terjatuh.
“Ketika suspek memotong di sebelah kanan, pengadu telah membuka tingkap dan menegur lelaki berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Lee, suspek kemudian berpatah balik dalam keadaan marah sebelum bertindak menendang pintu bahagian pemandu serta memukul pintu dan cermin tingkap kereta menggunakan topi keledar sebanyak tiga hingga empat kali sehingga menyebabkan berlaku kerosakan.
“Pengadu yang keluar dari kenderaan turut terkena hayunan topi keledar pada lengan kanan sehingga mengalami luka melecet.
“Isteri pengadu yang berada dalam kenderaan bersama anak-anak sempat merakam video, namun rakaman tidak jelas kerana mereka berada dalam keadaan ketakutan,” katanya.
Bagaimanapun kata beliau, wajah suspek dipercayai dapat dilihat dalam rakaman tersebut, namun semakan melalui sistem pengecaman wajah mendapati tiada padanan diperoleh.
Beliau memberitahu, pengadu mendapatkan rawatan di Hospital Jasin dan disahkan mengalami luka melecet pada lengan kanan.
Katanya lagi, kes ini disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Ainul Shahirah Shaharuddin di talian 012-467 1531 atau 06-529 2222 (sambungan 378) atau mana-mana balai polis berhampiran.
Polis turut menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan mengamalkan sikap bertolak ansur bagi memastikan keselamatan semua pihak.


