Iran sedia berperang jangka panjang, tiada tempoh ditetapkan

IRAN menegaskan bersedia menghadapi perang berpanjangan sekurang-kurangnya enam bulan dalam konflik berterusan dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Dalam temu bual bersama Al Jazeera di Tehran, Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi berkata, Iran tidak menetapkan sebarang tempoh masa dalam mempertahankan diri dan akan meneruskan operasi ketenteraan selagi perlu.

Menurut Araqchi, Iran memiliki keupayaan mengekalkan operasi jangka panjang dan tidak akan tunduk kepada garis masa ditetapkan pihak lawan.

Abbas Araqchi

Mengulas dakwaan di AS bahawa rundingan sedang berlangsung, beliau menegaskan bahawa tiada rundingan rasmi berlaku antara kedua-dua negara.

Katanya, rundingan dalam konteks hubungan antarabangsa memerlukan kedua-dua pihak duduk semeja untuk mencapai persetujuan, sesuatu yang tidak berlaku ketika ini.

Sebaliknya, beliau menjelaskan bahawa hanya wujud pertukaran mesej antara kedua-dua pihak, sama ada secara langsung atau melalui perantara.

Araqchi berkata Iran menerima mesej daripada AS, ada yang disampaikan secara langsung dan ada melalui negara sahabat serantau, dan akan memberi respons apabila perlu.

Beliau turut menjelaskan bahawa komunikasi tersebut, termasuk mesej yang disampaikan melalui wakil seperti Steve Witkoff, tidak boleh dianggap sebagai rundingan rasmi, sebaliknya sekadar bentuk komunikasi yang boleh berlaku dalam keadaan perang atau aman.

Araqchi menolak dakwaan bahawa terdapat pelbagai saluran komunikasi tidak rasmi dalam Iran, sambil menegaskan bahawa semua mesej dikendalikan melalui saluran rasmi Kementerian Luar atau dengan pengetahuan pihak berkuasa, di bawah penyeliaan Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran.

Mengenai laporan bahawa Iran telah memberi maklum balas terhadap cadangan 15 perkara dari AS, beliau menafikan perkara tersebut dan menyifatkan dakwaan bahawa Iran mengemukakan lima syarat sebagai spekulasi media semata-mata.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Iran belum membuat keputusan untuk memasuki rundingan dan masih menilai pelbagai faktor.

 Tegasnya, syarat Iran untuk menamatkan perang adalah jelas, termasuk penamatan penuh konflik di seluruh rantau, jaminan bagi mengelakkan berulangnya peperangan, serta pampasan terhadap kerosakan dialami rakyat Iran.

Beliau menambah bahawa Iran tidak menerima gencatan senjata sementara, sebaliknya menuntut penamatan menyeluruh konflik.

Mengulas kemungkinan rundingan pada masa depan, Araqchi berkata ia bergantung kepada keputusan kepimpinan tertinggi Iran sekiranya didapati ia memenuhi kepentingan rakyat negara itu.

Beliau turut menyatakan bahawa tahap kepercayaan Iran terhadap AS adalah “sifar”, merujuk kepada pengalaman lalu apabila perjanjian dibatalkan secara sepihak serta rundingan yang diikuti tindakan ketenteraan.

Mengenai keperluan jaminan, beliau berkata jaminan daripada satu atau dua negara tidak mencukupi, malah pengalaman di peringkat antarabangsa menunjukkan ia tidak berkesan.

Katanya, Iran kini sedang menilai cadangan daripada negara sahabat mengenai bentuk jaminan yang boleh memastikan penamatan perang secara berkekalan.

Mengulas ancaman terhadap infrastruktur Iran, Araqchi menegaskan bahawa negaranya tidak menerima sebarang ultimatum dan akan terus mempertahankan hak serta keselamatan rakyatnya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img