AGENSI Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) memberi amaran tegas kepada pegawai dan anggotanya yang bertugas di pintu masuk negara supaya tidak terlibat dalam sebarang perbuatan khianat dan salah laku.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya menerima gambar tular dalam media sosial mendakwa berlaku kemasukan warga asing secara tidak sah di kawasan sempadan sehingga menimbulkan kebimbangan awam.
Menurut beliau, pihaknya bagaimanapun belum dapat mengesahkan lokasi kemasukan warga asing terbabit sama ada melalui pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam atau lokasi lain.
Katanya, setakat ini tiada bukti jelas menunjukkan kemasukan warga asing termasuk dari India dan Bangladesh berlaku melalui laluan berkenaan.
“Malah perkara itu tidak dapat kita kenal pasti, namun saya memandang serius kebimbangan yang disuarakan awam terutamanya yang tinggal berdekatan sempadan.
“Saya sudah memberi amaran kepada pegawai dan anggota AKPS supaya tidak terbabit dalam sebarang perbuatan khianat sehingga menjejaskan keselamatan sempadan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Serah Terima Tugas Komander AKPS Bukit Kayu Hitam di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bukit Kayu Hitam hari ini.
Pada majlis itu, Senior Asisten Komisioner (SAC) Mohd Nasaruddin M Nasir menyerahkan tugasnya sebagai Komander AKPS Bukit Kayu Hitam kepada SAC Fauzi Mohd Yusuf.
Mohd Nasaruddin dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AKPS Putrajaya selepas berkhidmat selama satu tahun dua bulan di AKPS Bukit Kayu Hitam.
Mohd Shuhaily dalam pada itu berkata, tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat unsur pengkhianatan dalam kalangan pegawai yang boleh membuka ruang kepada pencerobohan sempadan.
Katanya, beliau tidak teragak untuk turun sendiri bagi mengenal pasti mana-mana pihak yang terbabit, sekiranya perkara ini benar berlaku.
Pada masa sama beliau berkata, pihaknya turut memperketatkan kawalan sempadan bagi membendung aktiviti penyeludupan barangan bersubsidi yang dijangka meningkat susulan konflik Asia Barat melibatkan Iran, Amerika Syarikat dan Israel.
“AKPS akan bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam melaksanakan penguatkuasaan,” katanya.


