SEORANG pemandu lori ditahan polis selepas didapati positif dadah jenis ganja susulan kemalangan yang menyebabkan seorang penunggang motosikal maut, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 malam membabitkan sebuah lori jenis Hino dan motosikal Yamaha Y15 di Jalan Permatang Gadong, Sungai Petani.
Menurutnya, pihak polis menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9 malam.
“Siasatan awal mendapati pemandu lori berusia 53 tahun itu dalam perjalanan dari arah Taman Sejati menuju ke tempat kerja di sebuah tapak pembinaan.
“Ketika kenderaan itu mula bergerak dan membelok ke kanan, sebuah motosikal dari arah bertentangan secara tiba-tiba melanggar bahagian tayar belakang kiri lori berkenaan.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa berusia 32 tahun terjatuh di atas jalan sebelum dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 6.45 pagi tadi ketika menerima rawatan di unit kecemasan hospital berkenaan.
Susulan itu, pemandu lori terbabit ditahan bagi membantu siasatan dan permohonan reman akan dibuat esok.
“Hasil ujian mendapati pemandu lori itu positif ganja ketika memandu dan kes disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


