POLIS Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu kumpulan samun bersenjata yang menyasarkan jurujual barang kemas dengan menahan sembilan individu dan turut merampas barangan samun dianggarkan bernilai RM3.6 juta.
Operasi Op Jingga D Garden yang dijalankan bermula 26 Mac hingga semalam itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU).
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, serbuan dilakukan di beberapa lokasi di daerah Barat Daya dan Timur Laut.
“Dalam serbuan tersebut, polis menahan tujuh lelaki tempatan dan dua wanita warga Indonesia berusia antara 23 hingga 43 tahun kerana disyaki terlibat dalam kes samun berkumpulan bersenjatakan parang di sekitar daerah SPU.
“Turut dirampas, barangan kemas seberat kira-kira 4,300 gram, sebilah parang, empat tayar bersama sportrim, tiga bentuk cincin serta dua buah kereta yang digunakan dalam kegiatan samun berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memberitahu, modus operandi kumpulan terbabit adalah menyasarkan jurujual yang membawa sejumlah barang kemas bagi tujuan penghantaran atau urusan jual beli di kedai emas sekitar Pulau Pinang.
Tambahnya, dengan penangkapan kesemua suspek, polis berjaya menyelesaikan kes samun berkumpulan yang dilaporkan berlaku pada 26 Mac lalu kira-kira jam 9.20 pagi di SPU.
“Kes tersebut melibatkan kerugian barang kemas seberat 6,023.69 gram dengan anggaran nilai semasa kira-kira RM3.6 juta.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 395, Seksyen 397 dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Menurut beliau, mahkamah telah membenarkan reman terhadap lapan suspek yang ditahan sebelum ini bagi membantu siasatan lanjut manakala seorang lagi suspek akan dipohon reman hari ini.
Dalam pada itu, Azizee berkata, semakan rekod mendapati tiga suspek mempunyai rekod lampau melibatkan jenayah dan dadah.
“Seorang suspek mempunyai empat rekod jenayah dan empat rekod dadah, seorang lagi mempunyai tiga rekod jenayah serta satu rekod dadah manakala seorang lagi memiliki 17 rekod jenayah dan satu rekod dadah,” katanya.
Tambah beliau, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati tiga daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Katanya lagi, polis masih meneruskan usaha mengesan rakan sejenayah kumpulan itu yang masih bebas.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan serta menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” katanya.


