Sindiket penipuan guna resit palsu Fly by Night tumpas, lapan ditahan

POLIS menumpaskan satu sindiket penipuan menggunakan taktik menghantar resit pembayaran palsu melalui aplikasi WhatsApp yang dikenali sebagai Fly by Night untuk meyakinkan mangsa membuat pembayaran, kelmarin.

​Kegiatan ahli kumpulan itu terbongkar apabila lapan lelaki tempatan ditahan sepasukan polis dalam satu serbuan di Cheras, Kuala Lumpur hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Kontinjen Pahang dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh.

​Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, tangkapan itu dibuat susulan laporan seorang jurujual wanita berusia 33 tahun yang mendakwa kerugian RM7,575 selepas diperdaya sindiket berkenaan.

​”Dalam kejadian 25 Mac lalu, mangsa seorang peniaga alat ganti kenderaan menerima tempahan minyak hitam daripada suspek sebelum bertindak menghantar barangan tersebut tanpa menyedari bayaran sebenarnya belum diterima.

​”Siasatan mendapati suspek menyamar sebagai pelanggan dan memperdaya mangsa dengan menghantar slip bank palsu bagi meyakinkan mangsa bahawa transaksi sudah dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Nasyim, dalam serbuan itu, polis turut merampas 11 unit telefon bimbit, sebuah lori dan satu rangkai kunci kenderaan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti jenayah itu.

Katanya, kesemua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Beliau dalam pada itu menasihatkan orang ramai terutamanya peniaga supaya tidak mudah cemas atau terburu-buru melakukan penghantaran barangan sebelum wang disahkan masuk ke dalam akaun.

​”Jangan mudah percaya dengan slip transaksi yang dihantar. Peniaga dinasihatkan membuat semakan melalui platform Semak Mule CCID bagi mengelakkan kerugian.

​”Orang ramai yang menjadi mangsa penipuan juga diminta segera menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 untuk tindakan lanjut,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img