Kerajaan negeri arah dua syarikat henti guna logo halal, tarik balik produk

KERAJAAN negeri Melaka mengarahkan dua syarikat iaitu pengeluar produk kopi dan kilang biskut yang sebelum ini ditarik balik Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) untuk menghentikan penggunaan logo halal serta menarik balik semua produk yang telah dikeluarkan di pasaran.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, kedua-dua syarikat tersebut diarahkan mengambil langkah penambahbaikan yang sewajarnya, termasuk proses sertu mengikut hukum syarak dan garis panduan yang ditetapkan, sebelum sebarang pertimbangan permohonan semula SPHM dibuat semula.

“Perkara ini memerlukan tindakan lanjut memandangkan keperluan untuk memastikan semua peralatan yang digunakan adalah bebas daripada unsur haram atau syubhah yang merupakan prinsip asas dalam pensijilan halal, termasuk implikasi terhadap pencemaran najis mughallazah.

“Sekarang ini pun mereka tidak boleh mempamerkan logo halal dalam premis dan sekiranya mereka langgar arahan itu, dua tindakan yang boleh dilakukan antaranya tindakan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) iaitu notis dan kompaun,” katanya kepada pemberita di Masjid Al-Alami di Melaka malam tadi.

Kelmarin media melaporkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menarik balik sijil halal dimiliki sebuah kilang memproses kopi dan biskut di Melaka selepas  didapati menggunakan berus dipercayai daripada bulu babi dalam kerja-kerja pembersihan peralatan.

Perkara itu dikesan menerusi pemeriksaan dijalankan Bahagian Pengurusan Halal JAIM pada Januari lalu, yang menemukan penggunaan berus berasaskan bulu haiwan di premis terbabit.

Rahmad berkata, tindakan menarik balik SPHM terhadap kedua-dua syarikat berkenaan dilakukan selaras dengan garis panduan yang ditetapkan kerana terdapat ketidakakuran serius mengikut Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 (Pindaan); klausa 32(3) Ketidakakuran Serius (a) Ketidakakuran Berkaitan Syariah : (ii) Ketidakakuran berkaitan penggunaan, pengendalian, penyimpanan, dan percampuran bahan tidak halal meliputi bahan mentah, produk, menu, perkhidmatan, premis, peralatan dan perkakasan, produk dagangan dan lain-lain.

Beliau berkata, tindakan yang diambil oleh JAIM ke atas kedua-dua syarikat itu merupakan salah satu prosedur biasa dan rutin yang dijalankan secara berterusan dari semasa ke semasa.

“Saya ingin menegaskan bahawa pematuhan terhadap standard dan perundangan halal merupakan satu tanggungjawab bersama yang memerlukan komitmen berterusan daripada semua pihak.

“Dalam hal ini saya melihat JAIM amat berhati-hati dengan tindakan yang dilaksanakan kerana kita tunggu dulu keputusan daripada Makmal Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk tindakan menarik semula sijil halal kedua-dua syarikat berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua syarikat berkenaan hanya boleh memohon semula sijil halal berkenaan setelah proses sertu dilakukan di kilang mereka dan produk yang ditarik balik dipantau semula dengan proses ketat serta mematuhi prosedur dan prosedur pensijilan SPHM.

Rahmad berkata, pihak industri disarankan supaya sentiasa meneliti setiap aspek dalam rantaian pengeluaran merangkumi bahan mentah, peralatan dan proses serta perkhidmatan agar sentiasa terpelihara daripada sebarang unsur yang boleh menjejaskan status dan integriti halal.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img