KETUA Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Timbalannya masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menerima rasuah berhubung siasatan kes pengurusan sisa elektronik (e-waste).
Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar dan Timbalannya, Norhazni Mat Sari membuat pengakuan itu di dua bilik mahkamah berasingan di hadapan Hakim Suzana Hussin dan Hakim Azura Alwi.

Wan Abdul Latiff, 59, didakwa menerima wang tunai berjumlah RM100,000 sebagai upah bagi mempertimbangkan rayuan untuk pengecualian penyediaan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi permohonan kebenaran merancang melibatkan cadangan membina jalan berkembar Bukit Kukus serta kerja tanah bagi tujuan mitigasi di atas tanah kerajaan.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu pada 15 Januari lalu dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Hakim Suzana membenarkan jaminan sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai.
Perbicaraan ditetapkan pada 7 Mei depan.
Sementara itu, Norhazni, 59, pula didakwa dengan enam pertuduhan menerima rasuah berjumlah keseluruhan RM21,000.
Tertuduh yang memegang jawatan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) ketika itu didakwa menerima wang daripada seorang pengarah yang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi antara 18 April 2022 dan 19 Julai 2024.
Kesemua pertuduhan itu dibaca mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya.
Hakim Azura membenarkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 19 Mei depan.


