KERAJAAN menubuhkan jawatankuasa kerja khas di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi memantau secara harian langkah menangani isu bekalan dan harga susulan perkembangan semasa ekonomi.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Tan Sri Mohd Hassan Marican yang akan meneliti secara mendalam tindakan perlu diambil selain mengumpul maklum balas berkaitan.
“Dua struktur ini akan membantu mesyuarat MTEN yang kini bersidang setiap minggu untuk menyelaras maklumat secara harian,” katanya dalam sidang media selepas majlis pemeteraian MoU antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) di Auditorium SC, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
Beliau berkata, Kementerian Ekonomi Malaysia bersama MTEN kini sedang meneliti lebih 40 indikator merangkumi pelbagai sektor bagi mengenal pasti perkara yang memerlukan perhatian segera.
Katanya, antara kementerian terlibat termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, selain kementerian lain yang berkaitan.
“Langkah ini bagi memastikan bekalan negara termasuk bahan api, tenaga dan makanan kekal mencukupi untuk bulan-bulan akan datang.
“Pada masa sama, kita mahu memastikan harga barang kekal terkawal serta aktiviti penyeludupan dan penyelewengan melibatkan bahan api serta bekalan makanan dapat dibendung,” katanya.
Tambah beliau, jawatankuasa berkenaan berfungsi secara berasingan dan tidak berkaitan dengan jawatankuasa lain yang dipengerusikan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.


