TIGA penunggang motosikal cedera, manakala tiga lagi individu terselamat dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Besar Permatang Tinggi, Bukit Mertajam, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam dikerahkan ke lokasi.
Menurutnya, sebaik tiba, pasukan mendapati kemalangan melibatkan tiga kereta dan tiga motosikal, namun tiada mangsa tersepit dalam kejadian itu.
“Mangsa yang cedera terdiri daripada tiga lelaki penunggang motosikal berusia antara 21 hingga 43 tahun.
“Tiga pemandu kereta pula berusia antara 29 hingga 64 tahun dilaporkan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Beliau berkata, pasukan bomba bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberikan rawatan awal kepada mangsa di lokasi sebelum mereka dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut.
Menurutnya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9 pagi.


