POLIS mengesan seorang penunggang motosikal yang melarikan diri selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 34 Lebuhraya Karak menghala ke Bentong, Pahang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Abang Kaderi Abang Wasli berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 10.43 malam, semalam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pada 2 April kira-kira jam 2.30 petang membabitkan sebuah kereta jenis Volkswagen Golf yang dipandu lelaki tempatan berusia 34 tahun.
“Ketika kejadian, mangsa sedang memandu di lorong kanan sebelum secara tiba-tiba sebuah motosikal dari arah bertentangan muncul secara melawan arus lalu bergesel dengan kenderaannya.
“Bagaimanapun, penunggang motosikal terbabit tidak berhenti di lokasi kejadian dan terus melarikan diri,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala identiti serta nombor pendaftaran motosikal terbabit masih belum dikenal pasti.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Rathana Kumar di talian 017-7745565 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222.


