JABATAN Imigresen (JIM) Johor menyerbu premis perniagaan dan kediaman dijadikan pusat jagaan warga emas yang menggaji dan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) baru-baru ini.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, sepasukan pegawai penguat kuasa dari Bahagian Penguat Kuasa JIM cawangan Muar menjalankan serbuan itu pada jam 6 petang Sabtu lalu.

Beliau berkata, serbuan Ops Belanja, Ops Sapu dan Ops Selera itu dijalankan serentak ke atas beberapa premis perniagaan dan rumah kediaman termasuk yang dijadikan pusat jagaan warga emas.
“Bertindak atas maklumat awam dan risikan, seramai 42 individu diperiksa dan 27 warga asing ditahan.
“Mereka terdiri daripada enam lelaki dewasa warganegara Indonesia, 11 lelaki Myanmar, seorang kanak-kanak lelaki Indonesia, seorang kanak-kanak lelaki Myanmar dan seorang kanak-kanak perempuan Myanmar.
“Turut ditahan tiga wanita Indonesia dan empat wanita Myanmar, semua yang ditahan berusia dalam lingkungan satu bulan hingga 48 tahun,” kataya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Rusdi, kesemua PATI yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Katanya, mereka kini ditempatkan di Depot Imigresen Pekan Nenas, Pontian untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Selain itu katanya, sekeping borang 29 iaitu saman kepada saksi dikeluarkan sepanjang pemeriksaan untuk membantu siasatan.


