DATUK Seri Rafizi Ramli hari ini mendedahkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah memberi bayangan terdapat dakwaan rasuah terhadap beliau melibatkan syarikat NexG berjumlah RM500,000.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, dalam pertemuan pada 2 Disember 2025 Saifuddin juga mengingatkan jika kes itu terdedah ia boleh memalukan beliau.
Rafizi mendakwa, ketika beliau bertanya apa buktinya Saifuddin menunjukkan invois bayaran daripada NexG.
‘’Saya cakap: “mana ada orang bagi rasuah keluarkan resit? Itu tak cerdik namanya”. Saya juga cakap: “bayaran RM500,000 ini dan invois adalah daripada Harizan (Mohd Hafizan Haris) dan GFIS. Saya tak pernah kenal mereka ini,’’ katanya dalam video terbaru beliau melalui Facebook.
Rafizi mengulas dakwaan portal Malaysia Corporate bahawa beliau menerima wang daripada Ketua Pegawai Eksekutif NexG Datuk Abu Hanifah Nordin pada tahun 2023 bagi dana kempen pemilihan PKR.
Laporan portal itu mendakwa, Abu Hanifah membayar kepada Mohd Hafizan yang dianggap orang kepercayaan Rafizi melalui syarikat GFIS (M) Sdn Bhd sebanyak RM200,000 (transaksi bank) dan RM300,000 secara tunai kepada Mohd Hafizan.
Wang itu didakwa diberikan bagi membolehkan Rafizi membantu Datasonic menerima lanjutan kontrak pasport daripada 12 bulan kepada 5 tahun seperti mana diminta oleh Abu Hanifah.
Portal itu mendakwa, Mohd Hafizan mendakwa bahawa Rafizi boleh menggunakan pengaruhnya mendapatkan lanjutan kontrak selama 5 tahun tersebut di bawah agenda bumiputera.
Bagaimanapun sebelum sambungan projek pasport dan kad pengenalan, Abu Hanifah dan Datasonic perlu membantu Rafizi menjayakan projek Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) Kementerian Ekonomi.
IPR adalah projek yang bertujuan meningkatkan pendapatan bagi membantu golongan miskin tegar B40.
Mengulas laporan portal tersebut, Rafizi menyifatkan semua dakwaan itu adalah bertujuan memfitnahnya.
‘’Dengan segala tuduhan, tidak ada satu pun yang menunjukkan saya berjumpa dengan Datuk Abu Hanifah atau sesiapa dari NexG seumur hidup saya, dari 2023 hingga sekarang.
‘’(selain itu tidak tunjuk) Saya menerima wang RM500,000 yang dituduh itu. Garis masa pun tidak kena, kononnya saya mengambil wang itu untuk membiayai pemilihan PKR 2025, sedangkan dalam bulan Julai 2023, semasa tuduhan saya menerima wang itu, ura-ura pemilihan PKR pun belum berlaku,’’ tegasnya.
Mengenai Mohd Harizan yang dikatakan menerima RM500,000 bagi pihak beliau, Rafizi dengan tegas berkata, ‘’Seumur hidup saya tidak pernah kenal atau berjumpa dengan Harizan ini’’.
’’Kalau NexG telah membayar RM500,000 kepada Harizan, GFIS atau sesiapa, maka siasatlah Harizan, GFIS hatta bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Dato’ Yatimah (Sarjiman) yang disebut-sebut dalam cerita ini.
‘’Besar kemungkinan, ini cerita biasa dari Putrajaya – ada ahli perniagaan cuba cari jalan, ada scammer yang mengaku macam-macam,’’ katanya sambil memaklumkan akan menerangkan secara terperinci isu itu dalam Podcast YBM Episod 43 pada Jumaat ini jam 9 malam.


