TENTERA Iran melunaskan amarannya kepada Amerika Syarikat (AS) dan Israel apabila melakukan serangan dron ke atas loji petrokimia Israel, di Dimona serta pangkalan tentera Amerika Syarikat di Emiriah Arab Bersatu dan Kuwait.
Tasnim News Agency melaporkan, Tentera Iran dalam satu kenyataan memaklumkan serangan itu sebagai tindak balas terhadap pencerobohan Amerika-Zionis ke atas industri petrokimia dan infrastruktur lain di Iran.
‘’ Kami telah menyasarkan “unit penjanaan tenaga dan kemudahan penyimpanan bahan api industri petrokimia” di wilayah selatan yang diduduki berhampiran Dimona./
‘’Selain itu kami juga menyerang pusat pembaikan dan penyelenggaraan Tentera Laut Amerika di Pelabuhan Jebel Ali di Emiriah Arab Bersatu serta sistem radar dan bangunan perumahan bagi tentera Amerika di Pangkalan Udara Ahmad Al-Jaber di Kuwait melalui serangan dron secara meluas,’’ kata kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan itu, kawasan industri Dimona mempunyai kepentingan besar terhadap ekonomi dan keselamatan rejim Zionis serta menempatkan kompleks kimia terbesar rejim berkenaan di Gurun Negev.
‘’Unit penjanaan tenaga dan kemudahan penyimpanan bahan api industri petrokimia terletak di kawasan tersebut, dan bahan kimia di situ digunakan bagi beberapa tujuan ketenteraan rejim Zionis,’’ kata kenyataaan berkenaan.
Selain itu, kenyataan tersebut memaklumkan bahawa pusat penyelenggaraan Tentera Laut Amerika di Pelabuhan Jebel Ali di Emiriah Arab Bersatu berfungsi sebagai salah satu pelabuhan berlabuh terbesar bagi kapal Tentera Laut Amerika di rantau tersebut, yang menyediakan sokongan serta penyelenggaraan penting kepada armada Amerika.
‘’Pangkalan Udara Ahmad Al-Jaber di Kuwait menempatkan pasukan tentera Amerika serta dilengkapi dengan sistem radar dan hangar yang mampu menempatkan pelbagai pesawat tentera, termasuk penempatan unit Tentera Udara Amerika Syarikat ke-332,’’ kata kenyataan berkenaan.


