SEORANG warga emas maut dalam keadaan tragis selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya hilang kawalan sebelum terbabas di susur masuk Plaza Tol Chukai, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), Kemaman, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi.
“Mangsa, Mohd Zukri Mat Nor, 60, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada bahagian leher, tangan dan kaki,” katanya.
Difahamkan, mangsa dalam perjalanan dari kediamannya di Kampung Pengkalan Pandan menuju ke arah Kuantan, Pahang.
“Siasatan awal mendapati motosikal jenis Ducati Monster yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan ketika hendak memasuki lebuh raya sebelum terbabas.
“Akibatnya, motosikal terbabit melanggar besi penghadang jalan menyebabkan mangsa tercampak beberapa meter ke atas jalan raya dalam kejadian ngeri itu,” katanya.
Menurutnya, pasukan perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.


