ENAM lagi kapal Malaysia yang masih terkandas di Selat Hormuz ketika ini akan dibenarkan melalui laluan perairan itu secara berperingkat, kata Duta Besar Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi.
“Kami (Iran) akan membenarkan kapal itu melalui laluan berkenaan satu demi satu,” katanya ketika ditemui selepas Dialog Kuala Lumpur-Ankara 2026 yang diadakan di ibu negara hari ini, lapor Bernama.
Terdahulu, Kementerian Luar mengesahkan bahawa sebuah daripada tujuh kapal milik Malaysia yang sebelum ini terkandas di Selat Hormuz susulan perkembangan situasi serantau telah diberikan laluan selamat dan kini meneruskan pelayaran ke destinasi akhir.
Perkara itu susulan penglibatan diplomatik peringkat tinggi antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian pada 26 Mac yang membolehkan Malaysia memperoleh kebenaran bagi tujuh kapal Malaysia untuk menyambung semula perjalanan mereka.
Laluan melalui Selat Hormuz, sebuah laluan sempit strategik yang menyaksikan 20 peratus daripada minyak mentah dan gas dunia melaluinya terjejas berikutan serangan berterusan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas wilayah serta kemudahan Iran sejak 28 Februari lalu.
Gangguan itu telah menyebabkan kekurangan bahan api dan mendorong kenaikan harga minyak, sekali gus mengakibatkan kesan ekonomi yang lebih meluas.
Iran telah mengehadkan laluan melalui Selat Hormuz kepada kapal dari negara yang dianggap `tidak bermusuhan’ sambil menegaskan bahawa pihaknya akan memudah cara bagi memastikan laluan selamat kapal berkenaan.


