POLIS menahan sekurang-kurangnya 43 lelaki disyaki terlibat dalam insiden serangan ke atas sebuah pusat hiburan karaoke (KTV) di Taman Shamelin, Cheras, Kuala Lumpur pada Ahad lalu.
Daripada jumlah itu, difahamkan permohonan reman akan dibuat ke atas 35 daripada mereka yang kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, manakala seorang lagi suspek akan disambung reman selepas ditahan Isnin lalu.
Tujuh lagi individu dilapor sudah dibebaskan dengan jaminan polis.
Kesemua suspek berusia lingkungan 20-an hingga 40-an itu termasuk dalang utama ditahan di sekitar Lembah Klang sejak Isnin lalu hingga awal pagi tadi, lapor BH.
Polis turut merampas sebuah lori di Taman Orkid, Cheras disyaki digunakan dalam kejadian serangan itu dan kemudian dipercayai membawa kepada tangkapan suspek lain. Turut dirampas senjata seperti batang besi dan batang kayu yang digunakan kumpulan itu.
Dalam kejadian tersebut, lebih 50 individu bertopeng menyerang sebuah pusat hiburan KTV dan melakukan rusuhan di lokasi.
Serangan itu tular dalam media sosial selepas dirakam oleh orang ramai yang berada di kawasan tersebut.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dijangka mengadakan sidang media hari ini berhubung butiran terperinci, termasuk motif serangan berkenaan.


