JABATAN Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menahan seorang lelaki pagi semalam yang mengaku telah bersekedudukan dengan teman wanita yang merupakan jiran sekampung berusia 22 tahun sehingga melahirkan seorang anak, dua bulan lalu.
Lelaki berusia 24 tahun itu ditahan pada jam 11.30 pagi di Muar, selepas pegawai dan anggota penguat kuasa JAINJ menerima satu aduan mengenai kes perzinaan sehingga melahirkan anak tidak sah taraf.
Menurut kenyataan JAINJ, sebaik sahaja menerima aduantersebut, sepasukan penguat kuasa bertandang ke rumah wanita itu pada jam 10 pagi dan menemukan seorang bayi berusia dua bulan sedang tidur.
“Hasil soal siasat mendapati wanita itu sudah berhenti kerja selepas disahkan hamil. Dia mengaku melakukan perbuatan terlarang dengan lelaki terbabit yang juga jiran sekampung.
“Pasangan ini sudah lama berkenalan dan apabila ditanya, mereka mengaku melakukan hubungan terlarang pada tahun lalu di dalam kereta yang diparkir di tepi jalan,” kata JAINJ dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, susulan pengakuan wanita berkenaan, penguat kuasa kemudian bergegas ke rumah teman lelakinya tidak jauh dari situ lalu menahannya.
Menurutnya, lelaki itu yang masih bujang dan bekerja sambilan di daerah Muar kelihatan terpinga-pinga sebaik melihat penguat kuasa berada di rumahnya.
“Apabila ditanya mengenai wanita tadi, lelaki ini hanya terdiam. Dia akhirnya mengaku melakukan perbuatan itu.
“Pada mulanya lelaki itu berkata dia sudah insaf atas perbuatannya dan berjanji akan menjadikan wanita itu sebagai isterinya serta bertanggungjawab terhadap bayi yang baru dilahirkan,” kata kenyataan itu.
Menurut JAINJ, namun apabila ditanya berkali-kali sama ada bersedia untuk bernikah, lelaki itu cuba mengelak. Sebelum wanita itu melahirkan anak, dia ada memberitahu berhasrat untuk bernikah.
“Tapi malangnya, sehingga kini niat dia belum tertunai sehinggalah penguat kuasa menerima aduan.
“Penguat kuasa kemudian menasihatinya supaya segera bernikah semoga memberi gambaran dia lelaki bertanggungjawab atas perbuatan silamnya, serta insaf dan bertaubat,” kata kenyataan itu lagi.
Menurut JAINJ, penguat kuasa turut memanggil ibu bapa pasangan supaya mencari jalan penyelesaian terbaik.
Katanya, kedua-dua pasangan ini akan didakwa mengikut Seksyen 23 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 kerana berzina.
Tambah kenyataan itu, Seksyen 23 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara atau enam sebatan jika didapati bersalah.


