TIGA lelaki bertindak pantas menyelamatkan seorang doktor wanita yang terperangkap dalam sebuah Perodua Myvi selepas kereta dipandunya itu terjunam ke dalam parit besar di Jalan Lintas Kepayan, Kota Kinabalu pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) menuju ke Lido sebelum terlibat kemalangan apabila kenderaannya melanggar bahagian belakang sebuah trak tunda.

Berikutan rempuhan itu, kenderaan mangsa dikatakan hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum terjunam ke dalam parit besar di tepi jalan.
Pemandu trak tunda yang menyedari kejadian itu segera turun untuk membantu dan cuba memanggil mangsa, namun tiada sebarang tindak balas.
Situasi cemas itu bagaimanapun menarik perhatian tiga lelaki yang kebetulan melalui kawasan berkenaan apabila mereka tanpa berlengah terus terjun ke dalam parit untuk menyelamatkan mangsa.
Ketiga-tiga lelaki itu kemudian berjaya menarik keluar mangsa dari dalam kenderaan yang hampir ditenggelami air.
Mangsa yang berjaya dibawa naik kemudian dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.


