Polis kejar Myvi lari dari pemeriksaan 15 km di Lebuhraya NKVE

TINDAKAN seorang pemandu lelaki yang enggan memberhentikan kenderaan untuk pemeriksaan, memaksa polis mengejarnya sejauh kira-kira 15 kilometer (km) di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) menghala ke arah Klang di Petaling Jaya kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 2.10 petang membabitkan sebuah kereta peronda polis (MPV) dan Perodua Myvi dipandu suspek berusia lingkungan 20-an itu.

Menurutnya, pemandu kereta Myvi berkenaan cuba lari daripada pemeriksaan polis dan dalam insiden itu juga suspek memandu secara agresif dan melanggar beberapa kenderaan lain sebelum berjaya ditahan polis.

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek yang juga warga tempatan itu mempunyai tujuh rekod lampau membabitkan pelbagai kesalahan dan satu rekod dikehendaki atas kesalahan mengikut Seksyen 15(4) Akta Pencegahan Jenayah (POCA) di Kuala Bera.

“Selain itu, semakan terhadap nombor casis kereta dipandu suspek mendapati mempunyai rekod kenderaan hilang bersabit laporan polis di Kuala Bera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan.

“Suspek direman selama dua hari sehingga hari ini dan individu itu akan diserahkan kepada pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera untuk siasatan kes di daerah itu sementara kertas siasatan dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk mendapatkan arahan selanjutnya,” katanya.

Shamsudin berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak tepat di media sosial serta tidak membuat sebarang spekulasi tidak benar berhubung insiden itu.

“Saksi yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 bagi membantu siasatan,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img