POLIS Kuala Lumpur tidak menolak kemungkinan penglibatan kumpulan kongsi gelap tempatan dalam serangan ganas di sebuah pusat hiburan di Cheras pada Ahad lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan awal mendapati kumpulan terbabit dipercayai direkrut dan diupah bagi melaksanakan serangan tersebut.
“Kita percaya kumpulan ini adalah gengster tempatan yang direkrut dan diupah untuk melakukan rusuhan serta khianat,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.
Menurutnya, premis berkenaan juga dipercayai mempunyai kaitan dengan penggunaan khidmat kumpulan kongsi gelap dalam operasinya.
“Penglibatan kongsi gelap dipercayai berkait dengan konflik antara pihak tertentu yang membawa kepada kejadian ini,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini polis telah menahan 45 individu serta merampas sebuah lori dan beberapa kenderaan lain yang digunakan dalam serangan tersebut.
“Kita juga sedang mengesan individu yang bertindak sebagai orang tengah serta dalang utama di sebalik kejadian ini,” katanya.
Fadil berkata, jumlah bayaran atau bentuk upah kepada kumpulan terbabit masih dalam siasatan.
“Operasi mengesan suspek yang masih bebas sedang dijalankan secara agresif,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Fadil mengakui pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu agak lewat termasuk melalui pusat kawalan daerah.
Kata beliau, meskipun kejadian dikesan sekitar jam 1.30 petang namun polis hanya menerima maklumat pada jam 7.30 malam, pada hari sama.
“Maklumat yang diterima oleh PDRM didapati agak lewat, termasuk melalui pusat kawalan daerah,” katanya.
Menurutnya, kelewatan perkongsian maklumat daripada orang awam turut memberi kesan kepada respons pasukan keselamatan di lapangan.
“Perkongsian maklumat yang lewat menyebabkan pasukan barisan hadapan tidak sempat bertindak ketika kejadian sedang berlaku,” katanya.
Beliau berkata, insiden tersebut berlaku dalam tempoh singkat walaupun melibatkan jumlah individu yang ramai.
“Jika maklumat disalurkan lebih awal, kita berpeluang menahan suspek ketika kejadian masih berlangsung,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai supaya segera menyalurkan maklumat berkaitan jenayah melalui talian kecemasan bagi membantu tindakan pantas pihak berkuasa.
“Polis dan masyarakat tidak boleh dipisahkan. Kerjasama orang ramai amat penting dalam membanteras jenayah,” katanya.


