SEORANG anggota polis yang digantung tugas antara enam ditahan selepas disyaki terbabit kes samun bersenjata yang menyasarkan kediaman warga asing membabitkan kerugian RM4.4 juta.
Kesemua suspek yang berusia antara 31 hingga 51 tahun itu ditahan dalam operasi yang dijalankan pada 5 April lalu dan dipercayai terbabit dalam tiga kes samun bersenjata dan menyamar polis yang berlaku di sekitar Kepong, Kuala Lumpur.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, polis menerima tiga laporan berhubung kes samun itu yang membabitkan mangsa lelaki dan wanita warga China dan wanita warga Indonesia berusia antara 29 hingga 52 tahun.
Menurutnya, kejadian berlaku di sekitar Kepong, di mana dalam kejadian itu, rumah ketiga-tiga mangsa dipecah masuk enam individu tidak dikenali antara jam 5.30 hingga 7.30 pagi pada 5 April lalu.
“Dalam kejadian itu, salah seorang suspek mengacu objek menyerupai pistol kepada mangsa.
“Modus operandi suspek menyamar sebagai pegawai polis dan melakukan samun dengan menyasarkan kediaman warganegara asing,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.
Fadil berkata, dalam ketiga-ketiga kejadian itu juga, suspek melarikan tiga kenderaan jenis Toyota Alphard, Rolls Royce dan Bentley serta satu peti besi, wang tunai RM24,200, AS$1,200 dan pelbagai barang kemas serta dua jongkong emas.
“Bertindak atas maklumat risikan, pada jam 8.45 malam 5 April lalu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Sentul bersama JSJ (Jabatan Siasatan Jenayah) Kontinjen Kuala Lumpur berjaya membuat tangkapan ke atas tiga lelaki.
“Hasil tangkapan pertama membawa kepada tangkapan susulan tiga lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes ini,” katanya.
Fadil berkata, polis turut merampas dua pucuk pistol, lima kenderaan, wang tunai RM13,056, pelbagai mata wang asing, lapan telefon bimbit dan dua pas keselamatan.
Antara ditangkap adalah anggota polis yang ditahan kerja dan mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.
Menurutnya, anggota polis berkenaan dan orang awam menyamar sebagai polis untuk melakukan samun bersenjata.
“Anggota polis itu bertindak sebagai koordinator melakukan jenayah ini, manakala senjata pistol diperoleh kerana dua yang ditahan adalah pengawal peribadi dan mempunyai lesen senjata api.
“Perintah tahanan reman semua suspek dibenarkan tujuh hari bermula dari tarikh tangkapan. Ujian saringan awal air kencing salah seorang positif ampethamine. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 395, Seksyen 397 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan,” katanya.


