TAKTIK licik sindiket menyewa rumah teres dua tingkat sebagai stor simpanan arak tidak bercukai akhirnya terbongkar apabila pihak berkuasa menyerbu premis berkenaan di Taman Utama, Pontian dan merampas minuman keras bernilai hampir RM1 juta, Sabtu lalu.
Serbuan menerusi Op Taring Alpha 2 itu menemukan sebanyak 364 kotak minuman keras pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM952,000 termasuk cukai.
Dalam operasi sama, tiga lelaki warga Myanmar berusia antara 24 hingga 33 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
Pegawai Pemerintah Batalion 5, Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam, Salehan Sulaiman berkata, sindiket terbabit dipercayai menjadikan rumah teres itu sebagai pusat penyimpanan utama sebelum bekalan arak diedarkan ke pasaran sekitar daerah ini.
Menurut beliau, hasil risikan mendapati premis tersebut disewa khas bagi mengaburi mata pihak berkuasa selain memudahkan aktiviti penyimpanan dalam skala besar.
“Minuman arak itu disimpan di dalam rumah sebelum diedarkan mengikut pesanan kepada pelanggan sekitar Pontian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, rampasan dan tangkapan itu merupakan antara kejayaan terbaru pihak berkuasa dalam membanteras kegiatan penyeludupan serta pengedaran arak tidak bercukai di negeri ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.


