Kira-kira AS$70 bilion (RM295.9) diperlukan untuk membina semula Semenanjung Gaza dan memulihkan keselamatannya selepas dua tahun peperangan yang memusnahkan wilayah itu, menurut Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dalam satu kenyataan.
Kenyataan yang diterbitkan di laman rasmi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu menyebut bahawa kemusnahan kini meliputi 84 peratus kawasan Gaza, manakala 92 peratus daripada Bandar Gaza musnah akibat pengeboman berterusan oleh tentera Israel sebelum gencatan senjata pada Jumaat lalu.
Wakil Khas UNDP bagi Bantuan kepada Rakyat Palestin, Jaco Cilliers, berkata sekurang-kurangnya AS$20 bilion (RM84.5 bilion) diperlukan dalam tempoh tiga tahun pertama bagi memulakan usaha pembinaan semula berdasarkan penilaian bersama PBB, Kesatuan Eropah (EU) dan Bank Dunia.

Menurutnya, UNDP bersama rakan pertubuhan kemanusiaan sedang melaksanakan pelbagai bentuk bantuan segera, termasuk bekalan air bersih, ubat-ubatan, kerja-kerja pembersihan runtuhan, serta peluang pekerjaan sementara bagi membantu 2.1 juta penduduk Gaza.
“Setakat ini, kira-kira 81,000 tan runtuhan atau bersamaan 3,100 lori muatan telah dibersihkan bagi membuka laluan kepada pekerja bantuan kemanusiaan,” katanya.
Cilliers turut memaklumkan terdapat tindak balas positif daripada beberapa bakal penyumbang, termasuk negara-negara Arab, Eropah dan Amerika Syarikat, yang menyatakan kesediaan untuk menyokong usaha pemulihan awal di Gaza.
Bagaimanapun, agensi kemanusiaan memberi amaran bahawa bantuan yang diterima masih jauh daripada mencukupi. Walaupun Israel telah meluluskan kemasukan 190,000 tan bekalan bantuan, sekatan akses dan kawalan keselamatan menyebabkan proses penghantaran tertangguh.
“Kami masih tidak menerima jumlah bantuan yang mencukupi,” kata jurucakap UNICEF, Ricardo Pires, yang menambah bahawa harapan terhadap peningkatan segera di lapangan masih belum menjadi kenyataan.

Gencatan senjata yang ditandatangani pada Isnin di Sharm El-Sheikh, Mesir, oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bersama pemimpin Mesir, Qatar dan Turki, menandakan berakhirnya konflik selama dua tahun.
Selepas gencatan senjata itu, Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) mula menyelia pemindahan mayat tebusan dari Gaza, manakala lebih 300,000 penduduk Palestin dilaporkan telah kembali ke utara Gaza, khususnya ke Bandar Gaza.
Namun, keadaan di lapangan masih sukar.
“Sebahagian besar agensi termasuk ICRC masih belum dapat mengatur pengagihan bantuan yang mencukupi,” kata jurucakap ICRC, Christian Cardon.
“Yang kita lihat ialah orang ramai tercedera malah ada yang terbunuh ketika cuba mendapatkan bantuan. Bantuan sepatutnya sampai kepada rakyat, bukan rakyat yang perlu mencari bantuan,” tambahnya.
Jurucakap Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA), Jens Laerke, pula menegaskan bahawa dunia menunjukkan keghairahan terhadap keamanan, namun menambah bahawa keamanan tidak akan kekal sekiranya bantuan gagal sampai kepada mereka yang memerlukan.
“Dunia menunjukkan semangat untuk keamanan,” katanya. “Tetapi untuk keamanan itu benar-benar bertapak, bantuan mesti sampai kepada rakyat bukan sebaliknya.”
UNDILAH |
[forminator_poll id=”4496″]


