Ribuan rakyat Korea Selatan ke Kemboja tidak pulang , dipercayai jadi ‘scammer’

RIBUAN rakyat Korea Selatan yang berkunjung ke Kemboja dalam beberapa tahun kebelakangan ini dilaporkan tidak pulang ke tanah air, menimbulkan kebimbangan bahawa jumlah warga Korea yang bekerja di pusat penipuan di negara Asia Tenggara itu jauh lebih tinggi daripada anggaran rasmi.

Menurut data Kementerian Kehakiman yang dikemukakan kepada Ahli Parlimen Parti Demokratik Korea, Park Chan-dae, perbezaan antara jumlah rakyat Korea yang berlepas ke Kemboja dan yang pulang ke negara asal ialah 3,209 orang pada tahun 2022, 2,662 orang pada 2023, dan 3,248 orang pada 2024 — peningkatan mendadak berbanding 113 orang pada 2021.

Perbezaan besar ini menimbulkan persoalan sama ada jumlah rakyat Korea yang terlibat dalam operasi penipuan berasaskan Kemboja mungkin lebih tinggi daripada anggaran kerajaan sekitar 1,000 orang.

Dari Januari hingga Ogos tahun ini, 67,609 warga Korea berlepas ke Kemboja, manakala 66,745 pulang, meninggalkan perbezaan sebanyak 864 orang. Jumlah sebenar dipercayai lebih tinggi jika mengambil kira mereka yang memasuki Kemboja melalui negara ketiga.

Data daripada agensi imigresen Kemboja menunjukkan 192,305 rakyat Korea memasuki negara itu tahun lalu, hampir dua kali ganda daripada 100,820 yang direkodkan berlepas dari Korea ke Kemboja dalam tempoh sama.

Seorang pekerja di kompleks jenayah di Kemboja memberitahu agensi berita Yonhap bahawa sekurang-kurangnya 2,000 hingga 3,000 rakyat Korea dipercayai terlibat dalam operasi penipuan di negara tersebut.

“Ada juga yang tidak berlepas dengan pesawat, sebaliknya menyeludup masuk melalui China,” katanya.

Seorang lagi individu yang mendakwa pernah bekerja di kompleks jenayah itu berkata terdapat kira-kira 50 rakyat Korea di kompleks tersebut.

“Sebahagian daripada mereka memperoleh wang dan berpindah ke kawasan lain untuk menubuhkan syarikat baharu,” kata lelaki berusia 20-an itu.

Pada Ogos lalu, seorang pelajar universiti Korea ditemui mati diseksa di Kemboja selepas diperdaya melalui tawaran pekerjaan palsu, mencetuskan kebimbangan awam terhadap jenayah yang menyasarkan warga Korea di negara berkenaan.

Ahli Parlimen Park Chan-dae berkata, kemungkinan besar terdapat lebih ramai rakyat Korea menjadi mangsa aktiviti jenayah di Kemboja, dan menggesa kerajaan menjalankan siasatan semula terhadap data mereka yang tidak pulang ke tanah air.

“Pemeriksaan semula amat perlu dilakukan dengan membandingkan rekod keluar masuk individu bersama data konsular dan polis,” katanya.

Sabtu lalu, 64 rakyat Korea yang ditahan di Kemboja atas dakwaan terlibat dalam penipuan dalam talian telah dibawa pulang ke Korea dengan penerbangan khas di bawah tahanan polis.

 


 

UNDILAH

[forminator_poll id=”4900″]

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img