DUA nelayan hilang selepas kapal dinaiki mereka karam akibat laut bergelora dan angin kencang, kira-kira tiga batu nautika di barat laut Tanjung Payung, dekat Bintulu, Sarawak petang semalam.
Pengarah Zon Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian daripada nakhoda kapal tunda TB SWEE kira-kira jam 6.15 petang sebelum laporan disalurkan kepada Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching.
Menurutnya, kapal tunda terbabit berjaya menyelamatkan empat mangsa yang ditemui terapung di lokasi kejadian.
“Salah seorang mangsa memaklumkan kapal nelayan kelas C yang mereka naiki terbalik akibat keadaan laut bergelora, manakala dua lagi rakan mereka masih belum ditemui,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini giat dijalankan oleh Maritim Malaysia dengan bantuan aset laut dan udara di sekitar kawasan kejadian.
Menurutnya, empat mangsa yang selamat kemudian dibawa ke Pelabuhan Bintulu untuk mendapatkan rawatan lanjut.


