SEORANG pakar perubatan dari Nepal yang juga pendaki Gunung Everest mengakui hati beliau telah terpaut dengan keenakan nasi kandar yang dirasainya ketika berkunjung ke Pulau Pinang baru-baru ini.
Dr Abhyu Ghimire, 37, yang telah dua kali berjaya menawan gunung tertinggi di dunia itu, beliau turut terharu dengan keramahan rakyat dan keenakan makanan di Malaysia sewaktu berkunjung ke negara ini.
“Keenakan nasi kandar, ayam goreng bersama aroma kuah yang dicampur ketika lawatan ke Pulau Pinang pasti membuatkan saya merindui hidangan itu selepas pulang ke negara asal,” kata pakar perubatan itu yang turut membuka klinik di puncak tertinggi dunia tersebut.
Dr Abhyu memberitahu, pelawaan pendaki Malaysia Everest 2016, Azim Afif Ishak, rakan yang dikenalinya sejak beberapa tahun lalu ketika menganjurkan aktiviti pendakian di Nepal, membawa kepada kunjungan pertama yang begitu bermakna di Malaysia apabila disambut mesra malah ia turut meninggalkan 1,001 kenangan manis.
Katanya, Azim mencadangkan beliau datang ke Malaysia untuk berkongsi pengalaman mengenai pendakian altitud tinggi bersama peminat tempatan serta menyusun beberapa program yang tidak disangka mendapat sambutan menggalakkan.
“Pengalaman paling manis ialah dapat bertemu semula dengan beberapa rakan Malaysia yang kini berkhidmat di hospital kerajaan dan swasta selepas lebih 10 tahun terpisah apabila menamatkan pengajian di Universiti Manipal, Karnataka, India,” katanya ditemui peminat sukan pendakian di Bukit Eiger, Ampang, lapor Harian Metro.
Sepanjang seminggu berada di Malaysia, Dr Abhyu berkongsi pengalaman bersama penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah, peminat sukan mendaki di Butik Eiger, Ampang, Selangor, penuntut Management and Science University (MSU), Shah Alam, Selangor dan bertemu penyelidik yang juga bekas Pengerusi Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM), Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor.
Beliau berkhidmat lebih 10 tahun di Mountain Medical Institute (MMI) di Khumbu (3,440 meter dari aras laut) yang juga pintu masuk utama ke Gunung Everest dan satu-satunya klinik yang diiktiraf pihak berkuasa Nepal di pergunungan itu.
Dalam pada itu, Dr Abhyu menyambut baik cadangan MSU untuk menubuhkan Pusat Perubatan Bidang Ketinggian yang akan memberi tumpuan kepada saringan kesihatan dan penyelidikan perubatan altitud tinggi bagi kegunaan awam serta akademik.
Dr Abhyu yang berlepas pulang hari ini menyatakan, beliau pasti akan datang semula ke Malaysia kerana terpesona dengan keharmonian, keindahan serta keramahan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Beliau turut menasihati individu yang ingin melakukan pendakian ke puncak tinggi supaya membuat persiapan rapi daripada segi fizikal dan mental bagi mengelak sebarang risiko kesihatan.


