Terima kasih abang bomba, bantu jumpa wanita hilang selepas kemalangan dalam paya

SEORANG wanita yang hilang sejak malam tadi, ditemukan dalam paya selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Pokok Machang, Tasek Gelugor, Seberang Perai dalam keadaan lemah dan mengalami kecederaan.

Penemuan wanita berusia 23 tahun itu adalah hasil inisiatif dua pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) yang turut membantu mencari mangsa selepas terserempak dengan ahli keluarga yang sedang mencari wanita itu.

Difahamkan, mangsa keluar dari rumah selepas solat Isyak malam tadi namun gagal dihubungi sejak itu menyebabkan ahli keluarganya memulakan pencarian awal pagi ini apabila motosikal mangsa ditemui di tepi jalan berhampiran sebuah sekolah agama.

Ketua Zon 4 JBPM Butterworth, Penguasa Kanan Bomba II Rosli Zakaria berkata, dua pegawai iaitu Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Luqman Mahmud dan Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Zainudin Abu Bakar ketika itu baru selesai menjalankan siasatan kes kebakaran di kawasan berhampiran dan terserempak dengan keluarga terbabit sedang mencari mangsa.

Menurutnya, keprihatinan sebagai anggota penyelamat menyebabkan kedua-dua pegawai berkenaan segera membantu mencari mangsa yang kemudiannya ditemukan di tepi semak berhampiran paya kira-kira 100 meter dari motosikalnya.

“Mangsa ditemukan terbaring dalam keadaan tidak bermaya oleh kedua-dua pegawai bomba berkenaan dalam keadaan cedera di kaki dan patah tangan selepas dipercayai terbabas sendiri sebelum terjatuh ke dalam paya dan dihanyutkan arus.

“Sebaik sahaja ditemukan, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tasek Gelugor dihubungi bagi membantu mengangkat mangsa sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan untuk dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

Rosli berkata, kepekaan dan keprihatinan dua pegawai tersebut wajar dipuji kerana tindakan pantas mereka berjaya menyelamatkan nyawa mangsa.

“Naluri dan kecekapan anggota bomba di lapangan sering menjadi faktor penentu dalam operasi sebegini.

“Ia membuktikan komitmen pasukan bomba sentiasa bersedia, bukan sahaja ketika panggilan kecemasan diterima, tetapi juga dalam situasi harian,”katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img