SEPASANG suami isteri maut manakala bayi perempuan mereka yang baru berusia enam bulan cedera selepas Perodua Myvi dinaiki keluarga itu terbabit dalam nahas melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 54.5, Jalan Sungai Rengit–Kota Tinggi hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, pasangan berkenaan, Muhamad Lokmanorhakim Mokhtar, 24, dan isteri, Nur Fatihah Othman, 28, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Bayi mereka, Nur Laylaa Batrysha turut mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kini dirawat di Hospital Kota Tinggi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu sebuah Perodua Myvi, Toyota Vios dan lori.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Perodua Myvi hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan lalu berlanggar dengan lori sawit tanpa muatan.
“Serpihan kemalangan turut terkena sebuah Toyota Vios yang melalui kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan, lapor Sinar Harian.
Menurut Yusof, pemandu lori berusia 47 tahun hanya mengalami kecederaan ringan, manakala pemandu Toyota Vios berusia 46 tahun tidak cedera.
Kata beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


