KKM sahkan wujud kluster baharu mpox babit empat sekeluarga

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengesahkan berlaku satu kluster baharu mpox membabitkan empat sekeluarga.

Menurut kenyataan kementerian itu, kes indeks terbabit merupakan seorang lelaki bukan warganegara yang mempunyai sejarah perjalanan ke Afrika Barat.

Katanya, pesakit didapati mula bergejala pada 20 Oktober lalu sebelum disahkan positif mpox (Clade II) pada 12 November.

Susulan pengesanan kes indeks, KKM berkata, tiga ahli keluarga serumah juga bergejala sejak 30 Oktober lalu dan disahkan positif mpox (Clade II) pada 13 November.

“Kesemua kes terbabit berada dalam keadaan stabil dan sedang menjalani pengasingan di rumah.

“Semua kontak rapat telah dikenal pasti, disaring dan diarahkan menjalani pengasingan.

“Hingga kini, hasil siasatan mendapati penularan hanya terhad dalam kalangan ahli keluarga, dan situasi kluster adalah terkawal,” menurut kenyataan itu hari ini, lapor Bernama.

Dalam pada itu, KKM memaklumkan setakat minggu epidemiologi ke-46 (ME 46/2025), sebanyak 12 kes mpox telah dilaporkan.

Ia menjadikan jumlah kumulatif kes mpox di Malaysia mencecah 23 sejak kes pertama dikesan pada Julai 2023.

Daripada jumlah itu, 22 kes adalah jangkitan mpox Clade II, manakala satu lagi membabitkan Clade Ib.

Menurut KKM, semua kes berjaya dibendung melalui pengesanan awal, pengasingan pesakit dan pemeriksaan kontak rapat, dengan tiada penularan lanjut dikesan dalam komuniti.

“Memandangkan penularan mpox masih berlaku, terutama dalam kalangan individu yang mempunyai sejarah aktiviti berisiko, KKM menyarankan supaya orang ramai terus mengamalkan langkah pencegahan.

“Ia termasuk mengelakkan sentuhan langsung dengan individu yang bergejala atau disyaki dijangkiti mpox.

“Dapatkan rawatan segera sekiranya bergejala seperti demam, ruam lepuh dan bengkak kelenjar limfa, termasuk menjalani ujian sekiranya diarahkan oleh pegawai perubatan,” katanya.

Menurut KKM, walaupun status mpox sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa (PHEIC) telah diisytiharkan tamat pada 5 September lalu, pihaknya akan terus memantau situasi jangkitan itu di dalam dan di luar negara dari semasa ke semasa, selain melaksanakan langkah pencegahan serta kawalan secara berterusan.

Mpox adalah sejenis jangkitan disebabkan oleh virus monkeypox, iaitu spesies bawah genus Orthopoxvirus.

Gejala mpox ialah demam berserta ruam atau lepuh pada muka, tapak tangan, tapak kaki, kemaluan, konjunktiva dan juga kornea.

Penularan mpox berlaku terutama melalui sentuhan rapat dengan individu yang dijangkiti.

Jangkitan boleh merebak apabila seseorang menyentuh ruam atau lepuh pada kulit pesakit, menerusi hubungan seksual, atau melalui permukaan dan objek yang tercemar dengan cecair badan pesakit.

Penyakit mpox boleh menjadi lebih serius bagi kanak-kanak, wanita hamil dan individu berimuniti rendah.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img