Bangunan Pasti terbakar, 46 murid selamat dipindahkan

KEKECOHAN berlaku di Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Raudhatul Athfal, Chukai di Kemaman, Terengganu apabila bangunan sekolah tersebut terbakar hampir 70 peratus, pagi ini.

Ketika kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, seramai 46 murid berusia antara empat hingga enam tahun sedang bersarapan selepas selesai sesi mengaji dan solat.

Salah seorang guru Pasti berkenaan, Nur Amyrah Salihah Mohd Yusoff berkata, pihak pengurusan bagaimanapun bersyukur kebakaran di bangunan satu tingkat itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

“Ketika kejadian saya berada di bahagian dapur. Ada penduduk yang kebetulan lalu di kawasan ini memberitahu ruang atas bangunan yang menempatkan empat kelas ada asap tebal.

“Saya dan tiga lagi guru terus bergegas membawa murid-murid keluar dari bangunan, kemudian kami lihat api menjulang tinggi dan menyambar seluruh ruangan bahagian atas sebelum merebak ke bahagian lain,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, lapor Sinar Harian.

Nur Amyrah Salihah berkata, mereka bernasib baik kerana ketika kejadian tiada sesi pembelajaran diadakan di bahagian bangunan yang terbakar itu.

“Habis semua buku dan perabot hangus terbakar. Buat masa ini kami terpaksa bercuti buat sementara waktu,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Saariah Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.09 pagi sebelum mengerahkan 18 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kemaman dan Chukai ke lokasi kejadian.

Kata beliau, kebakaran melibatkan bangunan setingkat separa kekal yang terbakar kira-kira 70 peratus.

“Ketika kami tiba semua penghuni dalam premis itu telah berjaya keluar dengan selamat dan api sedang marak.

“Pasukan bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengawal api daripada merebak,” katanya.

Beliau berkata, punca kejadian dan kerugian dialami masih dalam siasatan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img