Selatan Thailand: Puak pemisah harus hantar pemimpin ‘3 M’ berunding

Oleh Penulis Khas

KONFLIK di Selatan Thailand belum nampak tanda-tanda akan berakhir. Walaupun pelbagai pertemuan dan perbincangan diadakan, ia masih menemui jalan buntu.

Soalnya siapakah yang bersalah? Siapakah yang bertanggungjawab menyebabkan ada sahaja masalah timbul sebelum atau semasa rundingan damai dilaksanakan?

Sebenarnya apapun usaha dilakukan sama ada oleh pemerintah Thailand mahupun oleh Malaysia sebagai fasilitator ia tidak akan menghasilkan apa-apa selagi di dalam kalangan puak pemisah itu sendiri tidak menyelesaikan masalah sesama mereka.

Pada masa sama kedegilan mereka untuk tidak mahu menampilkan pemimpin sebenar berunding dalam proses damai turut menjejaskan usaha bagi menyelesaikan konflik di wilayah berkenaan.

Jika puak pemisah ini mahu berunding maka sepatutnya mereka menyelesaikan dahulu ketidakserasian sesama mereka. Maksudnya harus ada kesepakatan dan perpaduan bagi membolehkan apa yang mahu dirundingkan dengan pemerintah Thailand akan mencapai kejayaan.

Tetapi itu tidak berlaku kerana masing-masing ada kehendak dan pendirian sendiri manakala Barisan Revolusi Nasional (BRN) merasakan mereka ‘abang besar’ dalam kalangan puak-puak pemisah. Kesudahannya rundingan dan perbincangan menemui jalan buntu. Soalnya sampai bila puak-puak pemisah ini hanya mahu memikirkan kepentingan masing-masing sahaja?

Kesediaan pemerintah Thailand untuk terus mengadakan rundingan hiarpun berlaku perubahan di peringkat pucuk pimpinan negara sepatutnya disambut dengan kesyukuran oleh puak-puak pemisah.

Terlebih dahulu mereka boleh berbincang  sesama sendiri bagaimana rundingan mahu dijalankan dengan pemerintah Thailand tetapi itu tidak dibuat.

Sebaliknya ketika berunding sesama puak pemisah, masing-masing  mahu tunjuk siapa lebih kuat dan siapa lebih berkuasa sedangkan kalau mereka berpakat ia akan membina kekuatan dan mengukuhkan kuasa untuk berunding. Lebih buruk lagi, sesetengah puak pemisah tersebut anggota pun tidak ada!

Perangai buruk seperti itu harus dihentikan. Tidak kira BRN atau mana-mana puak pemisah,wajar mengenepikan segala sentimen sebaliknya menumpukan perhatian menghantar wakil terbaik untuk berunding. Wakil itu pula bukanlah sekadar datang untuk memenuhi syarat sahaja  tetapi mesti memiliki keupayaan 3 M – Mengawal, Mengarahkan,Menghentikan.

Maksudnya pemimpin tersebut boleh mengawal anggota-anggota puak pemisah, mampu mengarahkan mereka dan berupaya menghentikan keganasan. Adakah puak pemisah mempunyai pemimpin seumpama itu?Ada… tetapi entah mengapa mereka begitu keberatan menampilkan pemimpin tersebut ke meja rundingan.

Sehingga ke hari ini pelbagai alasan diberikan oleh puak pemisah khususnya BRN apabila diminta menghantar pemimpin sebenar berunding dengan pemerintah Thailand. Anehnya mereka mahu pemerintah Thailand memenuhi permintaan dan desakan puak pemisah tetapi dalam masanya mereka ‘malu’ menampilkan wakil sebenar.

Kalau begitu keadaannya,adakah rundingan akan berjaya? Adakah desakan mereka akan diterima dan adakah keganasan akan berjaya dihentikan? Kita semua tahu jawpannya.

Oleh itu dengan perubahan kepimpinan negara Thailand, puak pemisah juga harus berubah sikap memandangkan ruang terbuka luas untuk mereka mencipta kedamaian yang sangat-sangat diidamkan oleh penduduk Islam Selatan Thailand.

Jangan hanya pandai bercakap-cakap berdegar-degar mahu membela dan memperjuangkan nasib penduduk tersebut tetapi apabila tiba masa berunding – kepentingan dan keuntungan peribadi yang diutamakan.

Contohnya ada puak pemisah yang bimbang kalau rundingan melibatkan kelompok lain nanti kepentingan atau lebih tepat lagi ‘keuntungan’ mereka akan terjejas atau berkurangan. Semua sikap ini harus dihentikan kalau mereka benar-benar berjuang untuk penduduk Islam Selatan Thailand.

Ia termasuklah juga menghentikan tuntutan yang bukan-bukan seperti mahu memerdekakan Pattani. Semua itu mengarut dan perjuangan sia-sia kerana buatlah apa sahaja, pemerintah Thailand tidak akan membenarkan itu berlaku.

Sampai bila-bilapun  puak pemisah perlu letak dalam benak fikiran mereka bahawa Selatan Thailand adalah wilayah berdaulat milik negara Thailand. Wilayah itu tidak dijajah dan tidak  mungkin akan dilayan seperti dijajah kerana penduduk Selatan Thailand adalah warganegara Thailand yang sah

Mereka diberi layanan sama rata seperti  warga negara Thailand yang lain. Mereka bebas melaksanakan amal ibadah dan aktiviti mencari rezeki tetapi untuk mengubah fakta bahawa dengan menuduh wilayah itu dijajah dan penduduk Islam dianiaya…itu semua adalah cerita dongeng puak pemisah!

Justeru lebih baik, puak pemisah khususnya BRN mencari jalan mendamaikan Selatan Thailand dan memakmurkan kehidupan penduduk Islam, bukannya tidak habis-habis dengan perjuangan sia-sia demi kepentingan peribadi pemimpinnya. Dan paling malang akibat ‘perjuangan songsang’ itu beribu-ribu nyawa terkorban dan harta benda musnah. Cukup Cukuplah!

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img