LEROY Sane menjaringkan dua gol dan melakukan satu bantuan gol ketika Jerman meraih kemenangan besar 6-0 ke atas Slovakia, sekali gus mengesahkan tempat mereka ke Piala Dunia 2026.
Kedua-dua pasukan bermula dengan 12 mata di tangga teratas Kumpulan A, namun skuad Julian Nagelsmann tampil begitu garang untuk memastikan mereka menamatkan saingan di tempat automatik, sekali gus menyingkirkan Slovakia.
Nick Woltemade membuka jaringan pada minit ke-18 apabila melompat tinggi tanpa kawalan dalam kotak penalti untuk menanduk hantaran Joshua Kimmich ke penjuru kiri gol.
Serge Gnabry kemudian berlari melepasi pertahanan untuk memaksa Martin Dubravka keluar menyelamatkan keadaan. Pemain berusia 30 tahun itu akhirnya berjaya menjaringkan gol apabila dengan tenang menolak bola melepasi penjaga gol dalam situasi satu lawan satu.
Dua gol pantas daripada Sane kemudiannya meletakkan Jerman selesa di depan, kedua-duanya hasil gerakan yang disempurnakan oleh Florian Wirtz. Sane terlebih dahulu menyambut hantaran melambung dari atas sebelum menolak masuk melepasi Dubravka pada minit ke-36.
Lima minit kemudian, Sane melakukan voli untuk menambah jaringan.
Slovakia tidak menunjukkan ancaman besar selepas rehat, manakala Jerman terus menambah gol kelima pada minit ke-67. Gnabry, yang sebelum itu melepaskan peluang keemasan, melorongkan bola kepada Ridle Baku yang mudah menyudahkannya ke gawang terbuka.
Jerman mengakhiri pesta gol melalui satu gerakan berpasukan yang menyaksikan Assan Ouedraogo melepaskan rembatan rendah menewaskan Dubravka sekali gus melengkapkan jaringan pasukan tersebut kepada 6-0.


