Syarikat jual beli kenderaan mewah dikesan culas bayar cukai RM70juta

LEMBAGA Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengesan kegiatan sebuah syarikat yang disyaki terlibat dalam rangkaian kartel jual beli kenderaan mewah namun gagal mengisytihar cukai perniagaan sehingga menjejaskan hasil negara berdasarkan pendapatan tidak dilaporkan sekitar RM70 juta.

Kegiatan itu terbongkar apabila LHDN membuat serbuan dan pemeriksaan serentak di tiga lokasi di sekitar Lembah Klang iaitu premis perniagaan syarikat, kediaman pengarah dan sebuah firma juruaudit syarikat berkenaan.

LHDN dalam satu kenyataan memaklumkan operasi penguatkuasaan itu dilaksanakan seiring usaha kerajaan memerangi kartel dan sindiket penyeludupan yang berakar puluhan tahun sehingga menjejaskan hasil negara.

“Dalam operasi itu, pihak LHDN membuat penggeledahan bagi mendapatkan dokumen serta bahan bukti berkaitan ketidakpatuhan cukai.

“Siasatan awal mendapati syarikat berkenaan gagal melaporkan pendapatan sebenar daripada transaksi jualan dengan jumlah anggaran sekitar RM70 juta,” kata kenyataan itu.

Kes ini tambahnya disiasat di bawah Subseksyen 112(1A) Akta Cukai Pendapatan 1967 terhadap syarikat dan perenggan 113(1)(a) akta sama terhadap pengarah syarikat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan operasi tersebut.

Menurut beliau, operasi itu adalah sebahagian daripada tindakan bersasar LHDN dalam memperkukuh pematuhan cukai, khususnya dalam sektor yang melibatkan transaksi bernilai tinggi seperti kenderaan mewah.

“Ketidakpatuhan yang melibatkan jumlah besar bukan sahaja merencatkan hasil negara malah menjejaskan keadilan sistem percukaian dan tidak harus dipandang ringan,” ujarnya.

Tegas LHDN, antara kes pelarian cukai yang sedang dan akan diambil tindakan pendakwaan, termasuk melibatkan kegiatan perlombongan emas, penipuan (scam), penyalahgunaan status kebajikan untuk mengaburi transaksi, hasil perjudian, aktiviti haram lain serta perniagaan milik warga asing yang gagal melaporkan pendapatan.

“Langkah ini menunjukkan komitmen berterusan LHDN untuk memastikan setiap pihak mematuhi peraturan percukaian dan membendung ketirisan hasil negara,” jelas beliau.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img