OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki hilang selepas dihanyutkan kepala air di Sungai Klang berhampiran Pintasan Saloma di ibu negara sejak petang semalam diteruskan dengan pencarian di permukaan air melalui susur sungai sehingga ke kawasan Selangor, pagi ini.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, operasi turut dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) termasuk penggunaan dron bagi mengesan kedudukan mangsa.
“Keadaan cuaca tidak menentu di beberapa kawasan sekitar Kuala Lumpur terutamanya hujan di kawasan utara.
“Ia menyebabkan paras air meningkat dengan cepat dan arus yang deras menyukarkan operasi penyelamatan,” kata pusat tersebut dalam kenyataan hari ini.
Pusat itu memberitahu, mereka menerima panggilan kecemasan melalui talian Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa berhubung kejadian banjir yang melibatkan beberapa mangsa.
“Susulan panggilan tersebut, satu jentera bersama anggota dari BBP Titiwangsa dan balai bantuan dari BBP Jalan Hang Tuah telah diarahkan ke lokasi kejadian,” kata kenyataan itu.
Pusat tersebut memberitahu, pasukan operasi menjalankan penyelamatan menggunakan tali dan berjaya menyelamatkan 11 mangsa terdiri daripada seorang warganegara Malaysia dan 10 warga asing.
Sementara itu, adik kepada mangsa yang dikhuatiri lemas memberitahu, abangnya, K Suresh, 34, bertugas di lokasi kejadian kira-kira 70 hari sebagai penyelia tapak pembinaan sebelum dihanyutkan arus kepala air di Sungai Klang berhampiran Jambatan Saloma semalam.
K Suren, 32, memberitahu, dia dikejutkan dengan kejadian menimpa abangnya itu selepas dihubungi bapanya kira-kira jam 8.30 malam tadi.
“Saya sempat hubungi abang kira-kira jam 3 petang dan dia beritahu cuaca hujan di tempat dia bertugas (lokasi kejadian).”
“Abang memang pandai berenang dan ada juga mengajar orang berenang, tapi dalam situasi air deras dan yang kuat, mungkin sukar untuk dia berbuat apa-apa,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian hari ini.
Menurut Suren, abangnya menetap di Rawang, Selangor sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki berusia enam tahun.
Suresh dipercayai dihanyutkan arus deras ketika cuba mengalihkan kenderaan yang diletakkan di bawah jambatan sejurus menyedari kehadiran kepala air.
Tinjauan UtusanMelayuPlus mendapati ahli keluarga mangsa turut berada di lokasi kejadian bagi mendapatkan perkembangan terkini operasi SAR.


