POLIS menahan dua individu bagi membantu siasatan kes seorang lelaki yang maut akibat ditembak dan ditetak berhampiran sebuah restoran di Nusari Biz Sendayan, Seremban pada Rabu lalu.
Kedua-dua lelaki itu yang berusia 29 dan 32 tahun itu direman selama lima hari bermula hari ini hingga 26 November bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, perintah reman terhadap dua individu itu dikeluarkan Majistret Saifol Sayuti di Mahkamah Majistret Seremban pagi ini.
“Penahanan mereka bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki berusia 33 tahun meninggal dunia selepas ditembak dan ditetak oleh sekumpulan individu berpelitup muka bersenjatakan pistol dan parang.
Kejadian itu berlaku jam 11.15 malam ketika mangsa datang ke sebuah restoran berhampiran lokasi untuk makan malam bersama keluarga.
Lelaki terbabit turut dilaporkan mempunyai 42 rekod jenayah termasuk kes samun, mendatangkan kecederaan dan pecah rumah.


