POLIS menahan seorang lelaki yang bertindak memandu secara agresif selepas cuba melarikan diri daripada ditahan di Persiaran South Key, Johor Bharu hari ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat dalam satyu kenyataan berkata, kejadian berlaku pada jam 5.40 petang, Khamis ketika pasukan peronda cuba melakukan pemeriksaan terhadap sebuah Proton Satria berwarna hitam dipandu suspek.

“Suspek gagal memberikan kerjasama dan bertindak melarikan diri, menyebebabkan pasukan polis terpaksa mengejarnya.
“Suspek kemudian memandu secara agresif termasuk melawan arus dan melanggar beberapa kenderaan sebelum terbabas dan merempuh penghadang jalan. Aksi itu tular di media sosial,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, melalui pemeriksaan yang dijalankan dalam kenderaan tersebut polis menemui sebilah parang panjang.
“Ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine. Semakan rekod juga menunjukkan suspek mempunyai 23 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
“Suspek kini ditahan reman selama empat hari dan kes disiasat mengikur Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


