Jangan buat spekulasi, biar penguat kuasa agama siasat kes silat di kubur – Menteri

UMAT Islam diminta memberi ruang sepenuhnya kepada penguat kuasa agama untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh berhubung insiden tular seorang lelaki bersilat di kawasan perkuburan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menasihatkan masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi sehingga fakta sebenar diperoleh.

Beliau berkata, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid telah mengarahkan Pejabat Kadi Kluang menyiasat video tular berkenaan untuk memastikan tiada unsur yang bercanggah dengan adab dilakukan di tanah perkuburan.

“Pertamanya, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Exco agama negeri yang mengambil tindakan awal dan pantas untuk mengarahkan Pejabat Agama Daerah Kluang menjalankan siasatan daripada semua sudut.

“Janganlah kita berspekulasi kerana jika siasatan mendapati individu itu mengalami gangguan mental, maka kita perlu merujuknya untuk mendapatkan rawatan dan membaiki diri beliau. Sebab beliau juga anggota masyarakat,” katanya, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutupan Karnival Hijrah 2025 di Dewan Orang Ramai Kampung Felda Air Tawar 2 di Kota Tinggi, Johor hari ini.

Mohd Na’im turut menegaskan perbuatan bersilat atau melakukan sesuatu yang tidak wajar di kawasan kubur tidak boleh diterima dalam agama Islam.

“Ziarah kubur adalah disunahkan untuk mengingati mati dan setiap perbuatan di kawasan kubur harus dilakukan dengan menghormati waris serta menepati batas-batas akidah.

“Masyarakat Islam yang tidak pasti mengenai hukum sesuatu perbuatan hendaklah merujuk kepada pihak berilmu dan berautoriti seperti Jabatan Mufti Johor bagi memastikan tindakan mereka tidak melanggar akidah Islam,” katanya.

Media semalam melaporkan kerajaan negeri mengarahkan Pejabat Kadi Kluang menyiasat video tular yang memaparkan seorang lelaki melakukan pergerakan seakan-akan bersilat di tanah perkuburan Islam untuk memastikan tiada unsur yang bercanggah dengan adab dilakukan di tanah perkuburan.

Video berdurasi 28 saat dalam laman sosial Facebook yang dirakam pengguna jalan raya memaparkan seorang lelaki memakai jaket serta bertopi keledar berdiri di kawasan perkuburan sambil melakukan beberapa gerakan tangan dan kaki.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img