Berhati-hati! Harimau dikesan muncul di Kampung Bantal, Jerantut

KEMUNCULAN seekor harimau belang yang dikesan di Kampung Bantal, Hulu Tembeling di Jerantut, Pahang semalam kini membimbangkan penduduk di kawasan tersebut.

Susulan kejadian itu, lebih 250 penduduk di kampung tersebut dinasihatkan agar lebih berwaspada kerana tiga rangkaian Kampung Bantal yang terkesan adalah Kampung Membatu, Kampung Terus dan Kampung Komel.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Bantal, Hamdan Ali berkata, pemakluman kepada penduduk supaya berwaspada telah dibuat selepas penularan rakaman video haiwan itu pada hari yang sama.

Menurutnya, laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah dibuat bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil.

“Saya sudah menasihatkan penduduk supaya berhati-hati dan elak melakukan aktiviti luar kerana tidak diketahui lokasi sebenar harimau tersebut.

“Jangan bertindak sendiri, biarlah pihak berkuasa yang berkenaan menangani perkara ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Hamdan memaklumkan, ia merupakan insiden pertama harimau dilaporkan muncul berhampiran kawasan perkampungan dan setakat ini haiwan itu dipercayai seekor sahaja, namun pengecaman rasmi masih dijalankan oleh pihak berkaitan.

“Pergerakan haiwan ini tidak menentu, mungkin kerana lapar atau sakit. Saya jangka keadaan sedemikian boleh menimbulkan risiko kepada penduduk,” katanya.

Semalam, Perhilitan Pahang memasang perangkap dan kamera selepas menerima maklumat mengenai kemunculan seekor harimau belang di sebuah ladang di Hulu Tembeling, Jerantut.

Sebelum ini tular satu video berdurasi lebih satu minit 28 saat tular dalam media sosial memaparkan seekor harimau belang yang sedang berkeliaran dilihat penduduk di kawasan berhampiran Kampung Bantal.

Rakaman itu menunjukkan haiwan tersebut bergerak perlahan di antara pokok dan semak tebal sebelum kembali semula ke kawasan hutan berhampiran.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img