POLIS mengesahkan kemalangan ngeri membabitkan seorang warga emas berusia 63 maut terkena “Coupling Shaft” sebuah lori yang tercabut di Jalan Sri Bengkal, Parit Yaani, Batu Pahat, Johor.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.07 pagi tadi.
Katanya, kejadian dipercayai berlaku semasa sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) menghala ke arah Parit Yaani, Batu Pahat ke Segamat dan apabila sampai di tempat kejadian tiba-tiba cermin besar hadapan MPV ditembusi oleh satu objek dipercayai merupakan komponen lori (Coupling Shaft).
“Komponen dipercayai tercabut dari sebuah lori yang sedang bergerak dari arah yang berlawanan.
“Akibat daripada perlanggaran tersebut menyebabkan seorang penumpang hadapan kereta iaitu seorang lelaki tempatan berumur 63 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, pemandu MPV berumur 58 tahun iaitu adik kepada mangsa bersama tiga penumpang lain tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Di dalam MPV terdapat dua orang kakak kepada mangsa yang masing-masing berumur 68 tahun dan 65 tahun serta isteri kepada mangsa berusia 58 tahun.
“Pemandu lori seorang lelaki tempatan berumur 56 tahun juga tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


