‘’Sudah pakai baju oren, digari…itu bukti saya tak campur tangan…tak puas hati lagi ke?’’ – Anwar

PERDANA  Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah campur tangan dalam apa jua siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuk terhadap bekas setiausaha politiknya Datuk Seri Shamsul Iskandar Akin.

Anwar berkata dalam soal itu beliau menyerahkan sepenuhnya agensi antirasuah itu untuk melakukan siasatan secara menyeluruh.

“SPRM telah panggil pegawai (Shamsul Iskandar) dan sudah pakai baju oren dan bergari, itu bukti saya tidak campur tangan.

“Tak puas hati lagi ke? Saya tidak tegur sepatah pun kepada SPRM… saya beritahu mereka bebas siasat,” katanya pada sesi waktu pertanyaan perdana menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) berhubung kenyataan Anwar sebelum ini yang menyatakan peletakkan jawatan Shamsul Iskandar sebagai bukti integriti Kerajaan MADANI.

Pada Jumaat lalu, Shamsul Iskandar direman enam hari sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan pemberian rasuah oleh ahli perniagaan kontroversi Albert Tei.

Tei dipetik Malaysiakini sebagai berkata, dia membelanjakan RM629,000 untuk kerja ubah suai, perabot dan peralatan untuk hartanah dikaitkan dengan Shamsul, serta barangan peribadi lain.

Tei juga berkongsi tangkap layar perbualan WhatsApp menunjukkan Shamsul Iskandar didakwa meminta mata wang asing daripada ahli perniagaan itu sebelum ke luar negara.

Sementara itu beliau berkata, pegawai kerajaan yang mengeluarkan surat bagi memohon pertimbangan atau perhatian wajar diberikan teguran namun tidak sehingga dikenakan tindakan pemecatan.

Bagaimanapun, beliau berkata, ia menjadi satu kesalahan apabila mereka mengeluarkan surat berbentuk sokongan atau meminta kelulusan bagi pihak tertentu untuk sesuatu projek.

“Memang saya telah menyatakan bahawa saya tidak setuju bentuk surat sokongan ini, cuma kita harus bezakan… sepertimana dizahirkan baru-baru ini, kes termasuk pegawai di pejabat saya, senarai enam syarikat kemudian minta dipertimbangkan, jadi wajar diberi teguran.

“…Tetapi apakah harus dipecat?… kerana surat menyebut ‘sila pertimbangkan’, bukan syor meluluskan… kemudian dibangkitkan lagi, seorang pegawai saya di Kementerian Kewangan yang menyebut surat itu ‘dipanjangkan’.

“Ada saya pergi mana-mana daerah, pergi mana-mana negeri, orang hantar surat kepada saya, saya tulis ‘sila teliti’ tetapi yang tidak boleh adalah ‘menyokong’ atau meminta supaya syarikat itu diberikan kelulusan,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img