PASUKAN penyelamat Indonesia mempertingkatkan operasi mencari helikopter milik Eastindo yang terputus hubungan di Kalimantan Selatan, semalam.
Helikopter berkenaan dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Gusti Sjamsir Alam ke Lapangan Tjilik Riwut, Kalimantan Tengah.
Bagaimanapun selepas 8 minit berlepas helikopter yang membawa 8 orang tersebut terputus hubungan. Selain juruterbang dan seorang jurutera turut berada dalam pesawat berkenaan ialah enam penumpang.
Ketua Pejabat Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) Banjarmasin, I Putu Sudayana berkata, helikopter itu kali terakhir dikesan tidak jauh dari Air Terjun Mandin, Damar, Tanah Bumbu.
Jika melihat titik koordinat, Sudayana percaya helikopter itu terjatuh di wilayah Pergunungan Meratus yang dikelilingi hutan cukup tebal.
Keadaan itu akan menjadi halangan kepada pasukan penyelamat untuk sampai ke lokasi dari darat. Selain itu pencarian juga akan berhadapan masalah ganggu frekuensi radio, katanya, lapor Kompas.com.
Beliau berkata, pada masa ini sebanyak 40 anggota pasukan penyelamat termasuk Polis Repubik Indonesia (Polri) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) telah bergerak ke lokasi kejadian.
Selain pencarian melalui jalan darat, pasukan penyelamat juga memperhebatkan pencarian melalui udara dengan bantuan dua helikopter milik Polri dan Badan Nasional Penanggulangan (bertindak) Bencana (BNPB).
Beliau berkata, semalam helikopter milik Polri sempat terbang ke Mantewe tetapi terpaksa berpatah balik kerana cuaca buruk.


