Abang rayu kepulangan adik, disyaki terjebak love scam dengan wanita China

SEORANG abang merayu bantuan media dan orang ramai bagi mengesan adiknya, Muhammad Nazrin, 23, yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terpengaruh dengan seorang wanita dikenali menerusi permainan dalam talian dan disyaki menjadi mangsa sindiket love scam sejak Disember lalu.

Abang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Hadin berkata, adiknya seorang yang positif serta berwawasan, namun menunjukkan perubahan sikap ketara selepas berkenalan dengan wanita berkenaan melalui permainan Mobile Legends.

“Pada awalnya kami tidak tahu siapa wanita itu. Adik saya terlalu taksub, sering bercakap soal cinta dan mahu berjumpa dengannya. Sejak itu, dia mula menjauhkan diri daripada keluarga,” katanya dalam sidang media Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO) di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Hadin, adiknya pernah melarikan diri buat kali pertama pada 17 Disember lalu, namun berjaya ditemukan semula pada awal pagi di sekitar Kuala Lumpur sebelum dibawa pulang dan dipujuk secara baik.

“Kami berbincang elok-elok. Saya beritahu, kalau dia mahu berkahwin, keluarga tidak pernah menghalang. Kami benarkan dan tidak pernah memarahinya,” jelasnya.

Bagaimanapun, Muhammad Nazrin sekali lagi menghilangkan diri pada 22 Disember lalu kira-kira pukul 10 pagi selepas bersarapan bersama ahli keluarga.

“Ketika itu saya ke tandas dan dia keluar rumah seperti biasa menaiki motosikal. Sejak hari tersebut, kami gagal mengesannya. Telefon ditutup, WhatsApp dan panggilan langsung tidak dijawab,” katanya.

Hadin memaklumkan, hasil maklumat rakan dan staf, wanita yang dikenalinya itu didakwa mengaku sebagai warga China dan pernah menyatakan kononnya sedang melanjutkan pelajaran di sebuah universiti tempatan.

Adiknya juga dakwa Hadin, dipercayai pernah menyerahkan sejumlah wang kepada wanita berkenaan, namun jumlah sebenar tidak diketahui.

“Kami semakin bimbang kerana terdapat unsur mencurigakan, termasuk permintaan wang dan maklumat yang tidak konsisten. Saya takut adik saya menjadi mangsa love scam atau dipengaruhi pihak tidak bertanggungjawab,” ujarnya.

Menurutnya, laporan polis telah dibuat selain semakan dengan pihak imigresen, namun setakat ini tiada rekod menunjukkan Muhammad Nazrin keluar melalui mana-mana laluan udara.

Dalam pada itu, Hadin menegaskan keluarganya tidak akan memarahi Muhammad Nazrin sekiranya dia pulang ke pangkuan keluarga.

“Pesanan saya kepada adik, baliklah…kami sekeluarga tak pernah marah dan tidak akan memarahi,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya memandang serius kes berkenaan memandangkan mangsa berusia 18 tahun ke atas dan tertakluk di bawah undang-undang sebagai individu dewasa.

Menurutnya, dalam situasi sedemikian, ibu bapa atau ahli keluarga tidak mempunyai kuasa untuk menghalang pergerakan atau menyekat kebebasan mangsa kecuali dengan perintah mahkamah.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img