PAS menyambut baik keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu (MPT) semalam yang menerima keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasionl (PN).
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari, berkata keputusan tersebut – yang dicapai dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu malam tadi – adalah “cukup baik” demi membolehkan PN “bergerak ke hadapan.”
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas sekali lagi menyatakan harapan agar Pas diberi ruang pula untuk membawa gabungan PN berdepan dengan PRU akan datang.
“Alhamdulillah satu keputusan yang cukup baik dari mesyuarat MPT Bersatu yang menerima dengan terbuka hasrat Tan Sri Muhyiddin untuk berundur daripada posisi Pengerusi PN.
“PN insya-Allah akan bergerak ke hadapan. Berikan Pas peluang untuk mengemudi teraju PN menghadapi PRU ke-16. Kita bangkit mara ke Putrajaya,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, catatan Ketua Pemuda Pas Afnan Hamimi Taib Azamuden menarik perhatian apabila beliau seolah-olah menyindir pemimpin Bersatu berhubung gesaan Abdul Hadi supaya PN mengadakan mesyuarat tergempar bagi menerima, mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin dan melantik pengerusi baharu PN.
‘’Pertikai siapa yang layak panggil mesyuarat, hurai tafsir Perlembagaan ikut faham sendiri, bawa orang ini jumpa orang itu, minta orang itu backup orang ini. Ini semua perangai berbelit-belit. Yang berbelit-belit ni biasanya ada plan lain.
‘’Plan untuk gagalkan semua proses yang mudah tadi. Depa inilah punca masalah. Rakyat boleh tonton siapa yang sedang membelit. Mereka tak ramai. Mudah dikenali,’’ kata Ahli Parlimen Alor Setar itu.


