‘’Ada orang nak pemimpin ikut rasa selera dia’’ – Hadi

PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, masalah besar dihadapi oleh parti itu ialah ketaatan dan kesetiaan terhadap pemimpin, khususnya mereka yang dilantik melalui muktamar, mesyuarat atau oleh Pas Pusat untuk memimpin di peringkat negeri dan pilihan raya.

Katanya,  pelantikan pemimpin termasuk pesuruhjaya negeri, menteri besar serta calon pilihan raya ditentukan Pas Pusat selepas mengambil kira pandangan semua pihak, namun perkara itu sering menimbulkan rasa tidak puas hati.

“Pusat melihat dengan cara yang menyeluruh bukan dalam satu aspek sahaja. Sebab itu Rasulullah bersabda, dengar dan taat bila ditentukan pemimpin walaupun dia seorang hamba berkulit hitam yang kerinting rambutnya tentukan jadi ketua, taat.

“Ada orang dia nak pemimpin ikut rasa selera dia, ikut rasa puak dia, kumpulan dia, pandangan dia. Pusat mendengar pandangan-pandangan semua pihak, nak lantik Setiausaha Agung, nak lantik Pesuruhjaya Pesuruhjaya, dengar,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan di hari terakhir Muktamar Tahun Pas Kali Ke-71 Alor Setar hari ini.

Beliau menegaskan pendekatan Islam menekankan wala’ kepada pemimpin walaupun ada kelemahan kerana Rasulullah SAW sendiri mengekalkan raja-raja yang memeluk Islam di Musqat, Oman, Habsyah dan Yaman untuk terus memimpin dengan bimbingan ulama.

“Termasuklah Menteri Besar kita lantik tak ada orang setuju semua. Wakil rakyat kita lantik tidak sebulat suara. Tetapi bila dah lantik mesti wala’ beri kesetiaan. Kalau tunaikan ini insya-Allah Allah akan menolong kita. Memang pemimpin kita ada kelemahan. Kita bukan Tuhan, ada kelemahan.

“Boleh sebut kelemahan itu, boleh tegur kelemahan itu, rayu kepada Pusat, Pusat boleh betulkan, Pusat boleh nasihat, kecuali kelemahan yang merosakkan akidah. Akhlak pun kalau perlu diperbetul, betulkan,” nasihatnya.

Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man

  • Pas tak kurang pemimpin, umum calon PM buka ruang serangan

SEMENTARA itu Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas tidak pernah kekurangan barisan kepimpinan, namun pengalaman politik Malaysia membuktikan pengumuman awal calon Perdana Menteri boleh membuka ruang serangan musuh politik.

“Pas adalah parti yang bangkit daripada mehnah dan tribulasi. Dengan izin Allah, kita mampu menerajui negara pada masa depan,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan perkara yang merugikan jamaah mesti diketepikan dan seluruh tenaga perlu difokuskan kepada musuh sebenar, bukan sesama rakan dalam parti.

Selain itu, beliau menekankan keperluan memperkukuh modul latihan kepimpinan agar tidak bertindih, selain meningkatkan kecekapan pentadbir yang pertama kali menjadi Ahli Parlimen, ADUN atau anggota pentadbiran kerajaan.

“Dalam soal agihan kerusi pilihan raya, walak pada keputusan pimpinan sangat penting. Politik adalah urusan ijtihad, dan ahli wajib taat walaupun kadang-kadang tidak nampak apa yang diputuskan oleh pimpinan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

. –



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img