Tekong emas Sukan SEAP 1975 meninggal dunia

LEGENDA pemenang pingat emas sepak takraw Sukan SEAP Bangkok 1975 – satu-satunya kejuaraan temasya yang dimenangi di laman musuh tradisi Thailand – Wahab Ishak meninggal dunia semalam.

Bekas tekong handalan negara dan Perak ini era 70-an itu menghembuskan nafas akhir dalam usia 76 tahun di rumahnya kira-kira pukul 9.30 pagi di Tanjung Rambutan, Ipoh, Perak.

Allahyarham – Wahab Ishak

Anak keduanya, Mohd Faizal Wahab berkata, Allahyarham sudah lama uzur dan terlantar di katil sejak terjatuh di rumah pada Disember 2024.

“Allahyarham yang juga seorang pesara hospital kerajaan, meninggalkan tiga anak iaitu dua lelaki dan seorang perempuan. Isterinya telah meninggal dunia beberapa tahun lalu. Seorang lagi anaknya, kakak saya juga sudah meninggal dunia kerana sakit jantung,” katanya ketika dihubungi.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Tanjung Rambutan selepas solat zuhur semalam.

Wahab bergandingan dengan apit kanan atau perejam, Mohd. Azmi Harun dan apit kiri/pengumpan, Mohamad Noor Abdullah yang membentuk regu kedua Malaysia dalam Sukan SEAP Kelapan itu.

Sekalipun regu mereka tewas 15-17, 4-15, skuad negara tetap beroleh pingat emas acara berpasukan di Bangkok dengan menewaskan Thailand secara keseluruhan, 2-1 (15-10, 12-15, 15-11) dan (15-12, 14-17,15-11).

Malaysia turut menewaskan Singapura dalam pertandingan yang berformat liga sepusingan tiga penjuru itu.

Turut  sepasukan dengan Wahab ialah Razak Osman, Sahak Yasin, Jamaluddin Osman, Jusri Rick, Abdul Jalil Aziz, Faozi Ayub, Sulaiman Ibrahim, Abu Bakar Johan dan Idris Baba manakala jurulatih ialah Kamaruzaman Kasim.

Dalam tiga Sukan SEAP/SEA selebihnya di Thailand, skuad negara hanya membawa pulang pingat perak Bangkok 1967 dan 1985 serta Chiang Mai 1995 manakala Korat 2007 diboikot kerana membantah penggunaan bola bersalut getah.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img