SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad yang sedang dikesan suruhanjaya itu dipercayai kini berada di luar negara.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen untuk membantu mengenal pasti kedudukan individu berkenaan.
“Paling penting keberadaan beliau dan SPRM minta beliau segera pulang bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian hari ini.
Media semalam melaporkan SPRM sedang mengesan Adam Radlan, 44, yang beralamat terakhir di A16-2 Sunway Pallazio, Jalan Sri Hartamas 3, Sri Hartamas, Kuala Lumpur bagi membantu siasatan berkaitan projek Lebuh Raya Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) (MEX 2).
Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai individu berkenaan diminta menghubungi pegawai penyiasat SPRM, Penguasa Sharan RajGovindasamy di talian 014-356 0771 atau emel kepada sharanraj@sprm.gov.my.
Difahamkan, Adam Radlan dicari bagi membantu siasatan berkaitan projek pembinaan Lebuh Raya MEX 2 bermula dari Persimpangan Putrajaya dan berakhir di KLIA.
Sebelum ini, beliau turut disiasat berkait projek Jana Wibawa, namun mahkamah melepaskan dan membebaskannya daripada 12 pertuduhan rasuah serta pengubahan wang haram berkait projek Jana Wibawa selepas membayar kompaun RM4.1 juta.
Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin membuat keputusan itu selepas dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh bahawa SPRM bersetuju menawarkan kompaun RM4.1 juta kepada Adam Radlan berdasarkan representasi yang dikemukakan tertuduh.
Mengikut pertuduhan bagi kes berkenaan, Adam Radlan didakwa meminta suapan wang tunai 3.5 hingga tujuh peratus daripada nilai projek yang akan diperoleh daripada Pengarah Urusan MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd ketika itu, Mat Jusoh Mamat.
Beliau juga didakwa menerima suapan RM500,000 daripada individu sama sebagai upah kerana membantu syarikat itu mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada kerajaan secara rundingan terus dengan keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.
Selain itu, Adam Radlan menghadapi tiga pertuduhan menerima suapan RM4.1 juta daripada Lian Tian Chuan dan Mat Jusoh sebagai upah bagi tertuduh membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd serta MIE Infrastructure & Energy mendapatkan dua projek Jana Wibawa dan juga secara rasuah meminta wang RM2 juta daripada Tian Chuan sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan projek sama.
Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Adam Radlan turut berdepan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM3 juta mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya antara Mac 2021 hingga Januari 2023.


