SEORANG lelaki maut selepas kereta berkuasa tinggi jenis Toyota GR dipandunya bertembung dengan bas henti-henti di Jalan Krubong–Sungai Badau, Melaka hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, pemandu kereta berkenaan yang berusia 26 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit di tempat duduknya.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Malaysia Cheng, Mohd Norsyah Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 7.40 pagi.
Katanya, sebuah jentera bersama enam anggota dari BBP Cheng dikejarkan ke lokasi dan tiba tujuh minit kemudian.
“Terdapat dua mangsa iaitu pemandu bas berusia 34 tahun dan pemandu kereta Toyota GR masing-masing tersepit di tempat duduk pemandu dan berjaya dikeluarkan.
“Pemandu bas yang cedera dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan dengan ambulans manakala pemandu kereta disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.
Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi selesai jam 9.57 pagi.


