PERTEMUAN antara Ahli Parlimen Bersatu, malam tadi membuktikan kepimpinan dan wakil rakyat parti itu sentiasa berpegang teguh kepada semangat jamaah, disiplin organisasi dan nilai perjuangan yang telah menjadi asas kekuatan parti sejak penubuhannya.
Sehubungan itu Ahli Parlimen Rompin, Datuk Abdul Khalib Abdullah dalam kenyataan hari ini menyatakan, mereka berdiri teguh bersama Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan barisan kepimpinan tertinggi Bersatu yang telah diamanahkan untuk memimpin parti serta memperjuangkan kepentingan rakyat tanpa gentar dan tanpa berkompromi terhadap prinsip.
‘’Keyakinan ini lahir daripada komitmen bersama untuk memastikan parti terus mantap, tersusun, dan bersedia menghadapi cabaran politik semasa. Kami yakin bahawa keharmonian, kesepaduan, dan kesalingfahaman yang kukuh antara Ahli-ahli Parlimen akan mengukuhkan lagi kekuatan Bersatu dalam memperjuangkan dasar-dasar yang berpaksikan integriti, ketelusan, dan kebajikan rakyat,’’ katanya.
Beliau berkata dengan iltizam itu, mereka percaya Bersatu dan Perikatan Nasional akan terus berperanan sebagai pembangkang yang konstruktif, berprinsip, dan berwibawa dalam memastikan semak imbang yang berkesan terhadap kerajaan.
Malam tadi, ahli-ahli Parlimen Bersatu menzahirkan sokongan kepada Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu ketika parti tersebut dilanda konflik dalaman berikutan tindakan memecat dan menggantung beberapa pemimpinnya termasuk dua ahli Parlimen iaitu Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor) dan Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal (Machang).


