AGENSI Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) malam ini mengesahkan sistem eGate di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru yang sedang mengalami gangguan teknikal hanya membabitkan pemegang pasport asing dan tidak menjejaskan warganegara Malaysia.
Agensi itu menerusi hantaran Facebook memaklumkan setakat ini, keadaan di semua zon terkawal dan pergerakan pengembara berjalan lancar.
“Bagi pemegang pasport asing, bantuan dan panduan akan diberikan untuk menggunakan eGate di lokasi Dewan Bas Masuk eGate 19, 20, 21 dan 22 serta Dewan Bas Keluar e-Gate 5, 6, 7 dan 8.
“Sebagai langkah mengurangkan kesesakan, pelawat asing dinasihatkan memuat turun aplikasi Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) bagi menggunakan kaunter QR dan manual disediakan,” kata kenyataan AKPS itu.
Menurut AKPS, pembaikan dan pemantauan bagi menangani isu itu giat dijalankan bersama Jabatan Imigresen.
Agensi itu turut meminta semua pihak mematuhi panduan dan arahan berkaitan serta memberi laluan kepada pengembara lebih memerlukan demi keselesaan dan keselamatan semua.
Media hari ini melaporkan, proses kemasukan warga asing ke negara ini tergendala berikutan gangguan sistem pada pintu automatik imigresen di dua pusat pemeriksaan darat Johor-Singapura di CIQ BSI di Johor Bahru.
Situasi itu menyebabkan puluhan ribu warga asing terpaksa menunggu dalam barisan yang panjang.


